Wednesday 30 September 2009

Selangor



Negeri Selangor (juga dikenali sebagai Selangor Darul Ehsan) merupakan salah satu daripada tiga belas negeri yang membentuk Malaysia. Ia terletak di tengah-tengah Semenanjung Malaysia di pantai barat dan mengelilingi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.[1] Negeri ini juga bersempadan dengan Perak di utara, Pahang di timur, Negeri Sembilan di selatan dan Selat Melaka di sebelah barat.

Selangor ialah negeri dengan bilangan penduduk terbanyak di Malaysia. Selangor juga merupakan negeri termaju di Malaysia, berdasarkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan diisytiharkan sebagai negeri maju pada 27 Ogos 2005.

Etimologi

Asal nama Selangor tidak jelas, walaupun beberapa sumber mendakwa bahawa namanya telah diambil daripada perkataan "selangau", iaitu sejenis lalat besar, disebabkan oleh bilangan lalat yang ada berhampiran dengan Sungai Selangor, di bahagian barat laut negeri ini. Satu lagi teori mendakwa bahawa nama negeri ini diambil daripada frasa "Selang Ur" bermaksud "tanah selat" ("ur" membawa maksud "tanah" dalam bahasa Tamil). [2], [3]

Sejarah

Pada abad ke-15, Selangor terletak di bawah pemerintahan Melaka. Selepas kejatuhan Melaka, ia menjadi rebutan di antara penjajah Portugis, Johor, Aceh dan Siam. Selepas Belanda menewaskan Portugis di Melaka, mereka membawa masuk askar upahan Bugis dari Sulawesi. Ini menyebabkan kaum Minangkabau yang lebih dulu (100 tahun awal) datang dari Sumatra terpaksa berpindah.

Pada kurun ke-19, kemajuan ekonomi akibat perlombongan bijih timah dan penanaman pokok getah menarik ramai pendatang China. Kaum Cina ini membentuk kongsi gelap dan berpakat dengan pembesar-pembesar Selangor merebut kekayaan ini. Suasana kucar-kacir ini memberi peluang kepada British untuk memaksa Sultan Selangor menerima seorang Residen British di Klang pada 1874 iaitu J.G Davidson. Taktik ini berkesan apabila British berjaya mengawal keadaan dan Selangor kembali makmur.

Geografi

Gombak ditadbir oleh Majlis Perbandaran Selayang
Hulu Langat terbahagi kepada dua:
Majlis Perbandaran Kajang mentadbir seluruh Kajang dan Hulu Langat
Majlis Perbandaran Ampang Jaya mentadbir seluruh Ampang dan Ulu Klang
Hulu Selangor ditadbir oleh Majlis Daerah Hulu Selangor
Klang ditabir oleh Majlis Perbandaran Klang
Kuala Langat ditadbir oleh Majlis Daerah Kuala Langat
Kuala Selangor ditadbir oleh Majlis Daerah Kuala Selangor
Petaling terbahagi kepada tiga:
Majlis Bandaraya Petaling Jaya mentadbir bandaraya Petaling Jaya
Majlis Perbandaran Subang Jaya mentadbir seluruh Subang Jaya, USJ, Puchong, Serdang dan Seri Kembangan
Majlis Bandaraya Shah Alam mentadbir bandaraya Shah Alam dan Sungai Buloh
Sabak Bernam ditadbir oleh Majlis Daerah Sabak Bernam
Sepang ditadbir oleh Majlis Perbandaran Sepang
Bandar-bandar utama di Selangor adalah Shah Alam (ibu negeri), Klang, Kajang, Banting, Petaling Jaya, Subang Jaya, Puchong, Rawang dan Semenyih.

Budaya di Selangor

Disebabkan Selangor pada satu masa dahulu merupakan pusat pemerintahan Tanah Melayu, budaya di Selangor dipengaruhi oleh pelbagai kaum, seperti oleh orang Jawa, Bugis, Johor, Melaka, Minangkabau dan sebagainya.





No comments:

Post a Comment