Thursday 1 October 2009

Johor



Johor Darul Ta'zim ialah sebuah negeri di Malaysia yang terletak di selatan Semenanjung Malaysia dan bersempadankan:

Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang di utara;
Laut China Selatan di timur;
Selat Tebrau di selatan; dan
Selat Melaka di barat.
Kedudukan Johor dari segi keluasan, penduduk dan kepadatan dalam persekutuan Malaysia yang terdiri daripada 14 buah negeri (termasuk Wilayah Persekutuan) adalah seperti berikut:

Keluasan: ke-5 terbesar di Malaysia, dan ke-3 terbesar di Semenanjung Malaysia
Penduduk: ke-2 tertinggi di Malaysia serta di Semenanjung Malaysia
Kepadatan: ke-7 terpadat di Malaysia serta di Semenanjung Malaysia.
Ibu negerinya ialah Johor Bahru. Darul Ta'zim, nama gelaran Arabnya, bermaksud "tempat perlindungan yang maruah".

Sejarah

Sejarah Johor sudah pun bermula pada tahun 800 sebagai suatu petempat perdagangan yang penting. Semasa abad ke-14, kawasan itu menjadi wilayah tanggungan Empayar Majapahit sehingga pemerintahan Kesultanan Melaka (1400-1511) yang mana negeri Johor menjadi pula salah sebuah jajahan pemerintahannya. Pada tahun 1511, Melaka dikuasai oleh pihak Portugis dan Sultan Mahmud Shah, Sultan Melaka ketika itu, melarikan diri ke Pahang dan kemudiannya ke Bentan di Johor.

Kejatuhan Sultan Mahmud Shah
Di Bentan, Sultan Mahmud Shah mengumpulkan semula semua askarnya dan menyerang Melaka beberapa kali dan membuat sekatan perdagangan. Portugis merana kerana banyak serangan dilakukan oleh Sultan Mahmud Shah. Beberapa percubaan untuk menewaskan askar-askar Sultan Mahmud Shah dilakukan. Akhirnya, pada tahun 1526, seangkatan kapal yang besar di bawah Pedro Mascarenhaas dihantar oleh negeri Portugal untuk memusnahkan bandar Bentan. Sultan Mahmud terpaksa melarikan diri melintasi Selat Melaka ke Kampar, Sumatra di mana beliau mangkat. Baginda meninggalkan dua orang putera iaitu Tengku Muzaffar Shah dan Tengku Alauddin Riayat Shah.

Muzaffar Shah seterusnya menjadi Sultan Perak manakala Alauddin Riayat Shah menjadi sultan Johor yang pertama. Kesultanan Johor juga dikenali sebagai "Kesultanan Johor-Riau-Lingga".

Perang Tiga Segi


Sultan Alauddin Riayat Shah menubuhkan sebuah kota di Johor Lama yang terletaknya di tebing Sungai Johor dan dari situ terus melancarkan serangan ke atas kedudukan Portugis di Melaka. Baginda senantiasa bekerjasama dengan saudaranya di Perak dan juga dengan Sultan Pahang untuk menawan semula Melaka (pada ketika itu kota A Famosa telah dibina).

Di sebelah utara Sumatera pula pada masa yang sama, Aceh mula mengembangkan pengaruhnya untuk menguasai Selat Melaka. Selepas kejatuhan Melaka kepada Portugis yang beragama Kristian, pedagang-pedagang Muslim mula menjauhkan diri daripada Melaka dan singgah di Aceh. Melihat keadaan itu Portugis merasa tercabar kerana hasil perdagangannya semakin kurang.

Portugis dan Johor sentiasa berperang menyebabkan Aceh melancarkan serangan ke atas kedua-dua belah pihak. Kebangkitan Aceh di Selat Melaka mengakibatkan Johor dan Portugis berdamai dan bekerjasama melemahkan Aceh. Tetapi selepas Aceh menjadi lemah, Johor dan Portugis kembali berperang

Belanda dan Melaka

Pada abad ke-17, Belanda tiba di Asia Tenggara. Belanda bukanlah sekutu atau kawan Portugis dan ini menyebabkan Belanda bersekutu dengan Johor untuk memerangi Portugis di Melaka. Akhirnya pada tahun 1641, Belanda dan Johor berjaya menewaskan Portugis. Melaka kemudiannya menjadi milik Belanda sehinggalah Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 ditandatangani.

Perang Johor-Jambi

Semasa Perang Tiga Segi, Jambi yang berada di bawah kekuasaan Johor menjadi tumpuan ekonomi dan politik. Pada tahun 1666, Jambi cuba membebaskan diri daripada kekuasaan Johor dan di antara tahun 1666 hingga tahun 1673 terjadilah peperangan di antara Johor dan Jambi. Ibu kota Johor iaitu Batu Sawar dimusnahkan oleh angkatan Jambi. Hal ini menyebabkan ibu kota Johor sentiasa berpindah-randah.

Sepanjang perang itu Jambi yang sentiasa mendapat keuntungan. Tetapi pada tahun 1679, Laksamana Tun Abdul Jamil mengupah askar upahan Bugis untuk bersama-sama dengan tentera Johor menentang Jambi. Tidak lama kemudian Jambi pun tewas.

Krisis antara Johor dan Jambi bermula apabila kedua-dua pihak berselisih faham mengenai perebutan kawasan yang bernama Tungkal. Pada masa ini Johor diperintah oleh Sultan Abdul Jalil Shah III dan peranan pentadbiran lebih banyak dimainkan oleh Raja Muda. Dalam usaha untuk mendapatkan semula Tungkal dari tangan orang Jambi, orang Johor telah menghasut penduduk Tungkal untuk memberontak. Hal ini menimbulkan kemarahan Pemerintah Jambi. Namun kekuatan ketenteraan Johor yang disegani pemerintah Jambi pada waktu itu menyebabkan Jambi memilih untuk berdamai. Ketegangan antara Johor dan Jambi telah dapat diredakan menerusi perkahwinan antara Raja Muda Johor dengan Puteri Sultan Jambi pada tahun 1659.

Namun persengketaan antara Johor dan Jambi kembali meletus berpunca daripada tindakan kedua-dua pihak yang saling menghina kedaulatan kerajaan masing-masing. Johor telah memulakan episod perperangan dengan Jambi apabila menghantar 7 buah kapal untuk menyerang perkampungan nelayan Jambi pada bulan Mei 1667. Kegiatan perdagangan semakin merosot akibat perperangan yang berlaku kerana tiada jaminan keselamatan kepada pedagang untuk menjalankan urusniaga di kawasan bergolak ini. Hal ini menyebabkan kerugian ekonomi kepada Johor. Kemuncak peristiwa perperangan ini berlaku apabila Pengeran Dipati Anum mengetuai sebuah angkatan perang untuk menyerang dan memusnahkan Johor secara mengejut pada 4 April 1673. Serangan ini telah melumpuhkan sistem pentadbiran kerajaan Johor. Dalam usaha menyelamatkan diri, Raja Muda bersama seluruh penduduk Johor telah lari bersembunyi di dalam hutan. Bendahara Johor telah ditawan dan dibawa pulang ke Jambi.

Sultan Abdul Jalil Shah III pula melarikan diri ke Pahang. Baginda akhirnya meninggal dunia di sana pada 22 November 1677. Perperangan yang menyebabkan kekalahan kerajaan Johor ini telah mengakibatkan kerugian yang besar kepada Johor kerana Jambi telah bertindak merampas semua barang berharga milik kerajaan Johor termasuk 4 tan emas, sebilangan besar senjata api yang merupakan simbol kemegahan dan kekuatan Johor. Kehilangan senjata api dan tentera yang ramai menyebabkan kerajaan Johor tidak berupaya berbuat apa-apa secara tidak langsung menyebabkan kerajaan Johor runtuh.

Pengaruh Bugis dan Minangkabau

Sultan Mahmud Shah II mangkat pada tahun 1699 tanpa meninggalkan sebarang waris. Melihatkan keadaan itu, Bendahara Abdul Jalil melantik dirinya sebagai sultan baru dengan digelar Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV. Tetapi timbul perasaan tidak puas hati di kalangan pembesar-pembesar lain di atas perlantikan itu.

Orang Bugis yang memainkan peranan penting sewaktu Perang Johor-Jambi mempunyai pengaruh yang kuat di Johor. Selain daripada orang Bugis, orang Minangkabau juga mempunyai pengaruh yang kuat. Orang Bugis dan Minangkabau percaya dengan kematian Sultan Mahmud II, mereka dapat mengembangkan pengaruh mereka di Johor. Di kalangan orang Minangkabau terdapat seorang putera dari Siak iaitu Raja Kecil yang mengaku dirinya sebagai waris tunggal Sultan Mahmud II. Raja Kecil menjanjikan kepada orang Bugis bahawa sekiranya mereka menolongnya menaiki takhta dia akan melantik ketua orang-orang Bugis sebagai Yam Tuan Muda Johor.Pada masa itu orang-orang Bugis telah memberikan alasan untuk pergi ke Selangor bagi mengumpul orang-orangnya sebelum melancarkan serangan. Walau bagaimanapun, pada tahun 1717, Raja Kecil dan askar dari Siak (Minangkabau) telah menyerang Johor terlebih dahulu setelah terlalu lama menunggu kedatangan orang-orang Bugis. Pada 21 Mac 1718, Raja Kecil telah menawan Panchor. Raja Kecil melantik dirinya sebagai Yang Dipertuan Johor dan bergelar Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah. Setelah Raja Kecil berjaya menduduki tahta Johor orang-orang Bugis telah datang menuntut janji untuk dilantik sebagai Yam Tuan Muda. Permintaan ini telah tidak diperkenankan oleh Raja Kecil kerana orang-orang Bugis tadi telah tidak memberikan bantuan sebagaimana yang diminta oleh Raja Kecil.

Tidak puas hati dengan perlantikan Raja Kecil, bekas Bendahara Abdul Jalil meminta Daeng Parani ketua orang Bugis untuk menolongnya mendapatkan semula takhta.Permintaan ini telah dipersetujui oleh orang-orang Bugis kerana mereka juga kecewa kerana tidak dapat menuntut jawatan Yam Tuan Muda. Pada tahun 1722, Raja Kecil terpaksa meletakkan takhta kerana pengaruh Bugis. Anak Bendahara Abdul Jalil kemudiannya dilantik menjadi sultan dengan gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Tetapi Sultan Sulaiman hanyalah seorang sultan tetapi tidak mempunyai kuasa kerana Daeng Merewah, daripada orang Bugis yang memegang kuasa sebagai Yamtuan Muda.

Singapura dan British
Pada 1818, Sir Stamford Raffles dilantik menjadi gabenor di Bengkulu, Sumatera. Dia percaya bahawa British perlu menubuhkan sebuah penempatan yang baru di Asia Tenggara sekiranya mereka ingin bersaing dengan Belanda. Walaupun banyak bantahan diterima dalam Syarikat Hindia Timur Inggeris tetapi Gabenor British di India menyebelahinya. Dengan persetujuan gabenor, beliau memulakan ekspedisi mencari penempatan baru.

Raffles tiba di Singapura pada 29 Januari 1819. Dia menjumpai sebuah perkampungan Melayu kecil di muara Sungai Singapura yang diketuai oleh seorang Temenggung Johor. Pulau itu ditadbir oleh Kesultanan Johor tetapi keadaan politiknya tidak stabil. Waris Sultan Johor, Tengku Abdul Rahman dikuasai oleh Belanda dan Bugis. Raffles kemudiannya mengetahui bahawa Tengku Abdul Rahman menjadi sultan hanya kerana abang sulungnya, Tengku Hussein tidak ada semasa ayahnya meninggal dunia. Mengikut adat Melayu, bakal sultan perlu berada disisi sultan sekiranya ingin dilantik menjadi sultan.

Sedar bahawa dia boleh memanipulasikan keadaan ini, Raffles telah menyokong Tengku Hussein untuk menjadi Sultan sekiranya Tengku Hussein sanggup membenarkan British membuka pelabuhan di Singapura dan sebagai balasan British akan membayar wang tahunan kepada Tengku Hussein. Perjanjian ini menjadi sah pada 6 Februari 1819.

Dengan bantuan Temenggung, Raffles berjaya menyeludup Tengku Hussein yang ketika itu tinggal di Riau kembali ke Johor.

Belanda berasa amat tidak puas hati dengan keadaan ini tetapi dengan termeterainya Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, Belanda mengakui Singapura menjadi milik British. Perjanjian ini menyebabkan Kesultanan Johor terbahagi kepada dua iaitu Johor moden dan Kesultanan Riau yang baru.

Di dalam Johor yang baru, walaupun Tengku Hussein ialah sultan tetapi Temenggung yang menguasai Johor. Bugis pula menguasai Riau.

Wangsa Bendahara

Pada tahun 1855, di bawah perjanjian di antara British di Singapura dan Sultan Ali dari Johor, kuasa memerintah Johor diserahkan kepada Raja Temenggung Tun Daeng Ibrahim dengan Muar masih lagi di bawah kekuasaan sultan. Muar kemudiannya diserahkan kepada Temenggung Ibrahim pada tahun 1877. Temenggung Ibrahim membuka sebuah bandar iaitu Bandar Tanjung Puteri di selatan Johor dan menjadikannya sebagai sebuah bandar utama. Bandar Tanjung Puteri kemudiannya dikenali sebagai Johor Bahru.

Temenggung Ibrahim kemudiannya digantikan oleh anaknya, Temenggung Abu Bakar yang kemudiannya memegang gelaran Seri Maharaja Johor. Pada tahun 1866, dia dilantik menjadi sultan Johor secara rasmi. Sultan Abu Bakar Daeng Ibrahim memperkenalkan sebuah perlembagaan dan menubuhkan sebuah sistem pentadbiran yang cekap dan berkesan. Baginda juga memerintahkan dibinanya Istana Besar, tempat tinggal rasmi sultan. Sultan Abu Bakar kemudiannya dikenali sebagai Bapa Johor Moden.

Johor juga menikmati pembangunan ekonomi yang cemerlang. Permintaan lada hitam dan gambir yang tinggi pada kurun ke-19 menyebabkan pembukaan ladang-ladang baru dan kemasukan buruh Cina secara beramai-ramai. Sistem Kangchu dilaksanakan.

Pada tahun 1914, Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar terpaksa menerima seorang Residen British

Malaysia dan Johor
Perang Dunia II meletus pada tahun 1939. British yang bertanggungjawab dalam aspek pertahanan Johor dikalahkan dengan mudah oleh tentera Jepun. Jepun menduduki Johor dari tahun 1941 hingga tahun 1945.

Selepas tamatnya peperangan, British kembali ke Johor dan pada tahun 1946, Johor menjadi sebahagian daripada Malayan Union. Nasionalisme Melayu yang diketuai oleh Dato' Onn Jaafar daripada UMNO menyebabkan Malayan Union dibatalkan dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu. Tanah Melayu kemudiannya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan kemudiannya pada tahun 1963, Johor adalah salah satu daripada 14 buah negeri yang menyertai Malaysia.

Garis masa

1511-1528: Sultan Mahmud Shah I
1528-1564: Sultan Alauddin Riayat Shah II (Raja Ali/Raja Alauddin)
1564-1570: Sultan Muzaffar Shah II (Raja Muzafar/Radin Bahar)
1570-1571: Sultan Abd. Jalil Shah I (Raja Abdul Jalil)
1570/71-1597: Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II (Raja Umar)
1597-1615: Sultan Alauddin Riayat Shah III (Raja Mansur)
1615-1623: Sultan Abdullah Ma'ayat Shah (Raja Mansur)
1623-1677: Sultan Abdul Jalil Shah III (Raja Bujang)
1677-1685: Sultan Ibrahim Shah (Raja Ibrahim/Putera Raja Bajau)
1685-1699: Sultan Mahmud Shah II (Raja Mahmud)
1699-1720: Sultan Abdul Jalil IV (Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Jalil)
1718-1722: Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah (Raja Kecil/Yang DiPertuan Johor)
1722-1760: Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (Raja Sulaiman/Yang DiPertuan Besar Johor-Riau)
1760-1761: Sultan Abdul Jalil Muazzam Shah
1761: Sultan Ahmad Riayat Shah
1761-1812: Sultan Mahmud Shah III (Raja Mahmud)
1812-1819: Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah (Tengku Abdul Rahman)
1819-1835: Sultan Hussain Shah (Tengku Husin/Tengku Long)
1835-1877: Sultan Ali (Tengku Ali; tetapi baginda tidak diiktiraf oleh Inggeris)
1855-1862: Raja Temenggung Tun Daeng Ibrahim (Seri Maharaja Johor)
1862-1895: Sultan Abu Bakar Daeng Ibrahim (Temenggung Che Wan Abu Bakar/Ungku Abu Bakar)
1895-1959: Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar
1959-1981: Sultan Ismail ibni Sultan Ibrahim
1981-kini: Sultan Mahmood Iskandar Al-Haj

Ekonomi

Negeri Johor merupakan salah satu daripada negeri-negeri yang lebih maju di Malaysia. Ekonominya terdiri daripada campuran pertanian, pengeluaran, perdagangan dan pelancongan.

Johor ialah pengeluar utama bagi getah, nenas dan minyak kelapa sawit. Hutannya merupakan asas untuk perkembangan pemprosesan kayu-kayan dan kayu balak. Sewaktu 1980-an, terdapat perkembangan utama taman-taman perindustrian dan projek perbandaran diseluruh negeri. Pelbagai syarikat antarabangsa daripada Singapura telah berpindah ke Johor untuk mengambil kesempatan daripada kos yang lebih rendah. Industri-industri utamanya termasuk elektronik, tekstil, pembinaan kapal, dan juga kilang-kilang penapis minyak kepala sawit dan bahan sumber semulajadi serta bahan kimia daripada petroleum.

Ramai penduduk di Johor juga berulang-alik setiap hari ke tempat kerja di Singapura disebabkan upah yang lebih lumayan.

Kebudayaan negeri Johor mengandungi pelbagai aspek daripada kaum Melayu, Cina, India dab lain-lain bangsa, termasuk orang asli dan orang Portugis. Campuran ini dibayangkan oleh tempat sembahyang yang terdiri daripada masjid-masjid, kuil-kuil dan gereja-gereja yang berwujud di sisi satu sama lain. Selainnya, ia juga dibayangkan dalam pelbagai makanan tempatan, kostum, perayaan dan upacara amal.

Wilayah Pembangunan Iskandar telah dilancarkan pada 4 November 2006 di bahagian selatan negeri Johor

Kebudayaan tradisi Melayu Johor

Kuda kepang dan zapin merupakan tarian tradisional Melayu di Johor. Kuda Kepang ialah sejenis tarian yang dipersembahkan dengan kostum yang mewah serta kuda tenunan. Ia memaparkan pahlawan-pahlawan yang berkuda berlawan dalam pertempuran yang semakinnya menjadi cergas sehingga perayaan kemenangan.

Ghazal dan Barongan adalah tulang belakang nyanyian tradisional Melayu. Ghazal melibatkan segolongan kecil ahli muzik yang bermain alat muzik moden dan tradisional, dan seringnya dipersembahkan dalam majlis rasmi.

Di Johor juga terdapat dua jenis teater tradisional yang dikenali sebagai Hamdolok dan Wayang Kulit Purwa (atau Wayang Kulit Jawa).

Pakaian tradisional Johor termasuk:

Baju cekak musang
Baju Teluk Belanga
Kurung Johor
Kurung Riau
Belah kebaya panjang

Pelancongan

Negeri Johor mempunyai banyak tarikan pelancongan, terutamanya:

1. Desaru: pantai-pantai dan padang golf di pantai Laut China Selatan;
Johor Bahru: sebuah daerah diraja yang mempunyai banyak kompleks membeli-belah dan pasar malam;
2. Kota Tinggi: mempunyai air terjun yang tingginya 34 meter.
Kukup: sebuah kampung perikanan dengan restoran-restoran makanan laut yang dibina diatas laut;
3. Muar: sebuah bandar yang cantik di tebing sungai;
Kepulauan Seribuat: terdiri daripada pulau-pulau yang mempunyai terumbu karang dan pantai yang indah;
4. Tanjung Piai: merupakan hujung yang paling selatan di benua Asia.
Negeri Johor juga mempunyai lima taman negara dengan jumlah keluasan yang melebihi 700 kilometer persegi serta banyak hutan lipur yang lebih kecil untuk menarik kedatangan pelancong:

1. Taman Negara Endau-Rompin
2. Taman Negara Gunung Ledang
3. Taman Negara Tanjung Piai
4. Taman Negara Pulau Kukup
5. Taman Negara Johor Kepulauan Mersing
6. Hutan Lipur Gunung Pulai
7. Hutan Lipur Gunung Arong
8. Hutan Lipur Gunung Lambak
9. Hutan Lipur Gunung Belumut (Moss Mountain)
10. Hutan Lipur Gunung Panti.










Melaka



Negeri Melaka (Tulisan Jawi: ملاك; juga dikenali sebagai Melaka Negeri Bersejarah atau Negeri Hang Tuah) adalah sebuah negeri yang terletak di barat Semenanjung Malaysia dan bersempadankan:

Negeri Sembilan di utara;
Johor di tenggara; dan
Selat Melaka di barat.
Kedudukan Melaka dalam persekutuan Malaysia yang terdiri daripada 14 negeri (termasuk Wilayah Persekutuan) adalah seperti berikut:

Keluasan: keempat terkecil di Malaysia (tangga ke-11), serta di Semenanjung Malaysia (tangga ke-9)
Penduduk: kedua terkecil di Malaysia (tangga ke-13), serta di Semenanjung (tangga ke-13)
Kepadatan penduduk: ke-4 terpadat di Malaysia serta di Semenanjung.
Ibu negerinya Bandaraya Melaka. Walaupun merupakan negeri pertama mengasaskan Kesultanan Melayu, Melaka kini tidak mempunyai seorang Sultan, sebaliknya negeri ini diketuai oleh seorang Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri.

Sejarah

Kesultanan Melayu Melaka diasaskan oleh Parameswara, seorang putera Palembang beragama Hindu yang berasal dari Palembang di antara tahun 1400 hingga tahun 1403. Pada awalnya Melaka bukanlah sebuah kerajaan Islam. Hal ini berubah pada tahun 1409[1] apabila Parameswara berkahwin dengan puteri dari Pasai. Agama Islam dijadikan sebagai agama rasmi Kesultanan Melayu Melaka oleh Sultan Muzaffar Syah. Pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka berterusan selama lebih satu abad sehinggalah Melaka tewas di tangan penjajah Portugis pimpinan Alfonso de Albuquerque pada 1511. Sultan Mahmud Shah merupakan sultan terakhir Kesultanan Melayu Melaka. Pada 1528, seorang putera baginda Sultan Alauddin Riayat Shah II menubuhkan Kesultanan Johor bagi mewarisi Kesultanan Melaka.

Menurut Sejarah Melayu, Parameswara (nama asal baginda ialah Dharmaraja) adalah Raja Singapura terakhir yang berasal dari keturunan Srivijaya. Pada tahun 1324, seorang putera Srivijaya dari Bintan bernama Sang Nila Utama telah menawan Temasek dan menubuhkan kerajaan Singapura lama. Baginda memerintah selama 48 tahun dan diiktiraf sebagai Raja Singapura oleh satu utusan dari Maharaja China pada tahun 1366. Baginda secara rasmi bergelar Sri Maharaja Sang Utama Parameswara Batara Sri Tri Buana, Batara Sri Tri Buana bermaksud "Yang Dipertuan kepada tiga dunia" melambangkan kekuasaan baginda ke atas Palembang, Bintan dan Temasek. Terdapat tiga orang lagi Raja dari keturunan baginda yang memerintah Singapura iaitu, Paduka Sri Pekerma Wira Diraja (1372 – 1386), Paduka Seri Rana Wira Kerma (1386 - 1399) dan yang terakhir Paduka Sri Maharaja Parameswara (1399 - 1401). Pada 1401, kerajaan Majapahit menyerang Singapura dengan bantuan Bendahara yang belot, Sang Rajuna Tapa. Parameswara yang tewas melarikan diri dengan baki pengikutnya ke semenanjung tanah melayu untuk membuka ibu negeri yang baru.[2][3]

Menurut "Suma Oriental", Parameswara ialah seorang raja Palembang yang menggantikan ayahandanya, Raja Sam Agi. Beliau diserang oleh Raja Jawa, Batara Tamavill, sewaktu beliau menggelarkan dirinya sebagai Mjeura ("orang yang berani"). Ekoran daripada itu, beliau melarikan diri ke Singapura. Setelah membunuh wakil Raja Siam (bernama Tamagi) di Singapura, Parameswara menjadi pemerintah palsu pada satu tempoh yang tidak lama kerana beliau telah diserang dan dihalau oleh pihak Siam tidak lama selepas itu. Dengan seribu pengikutnya, beliau menuju ke pantai barat Semenanjung Melayu untuk mencari tempat perlindungan yang baru.

Menurut Sejarah Melayu ("Malay Annals") yang dikarang oleh Tun Sri Lanang pada tahun 1565, Parameswara melarikan diri ke Muar tetapi diganggu oleh biawak yang tidak terkira banyaknya. Penetapan di tempat yang kedua di Kota Burok juga gagal kerana kubu pertahanan yang mereka cuba mendirikan runtuh dengan serta merta. Kemudian Parameswara berpindah ke Sening Ujong. Setelah berada di sana, beliau melantik seorang menteri untuk mewakili dirinya dan kemudiannya beliau tiba di Sungai Bertam, iaitu suatu kawasan persisiran pantai. Ketika itu, orang-orang Seletar mendiami di situ dan mereka meminta Parameswara menjadi raja.

Semasa berburu di muara Sungai Bertam, Parameswara ternampak seekor pelanduk menendang salah seekor daripada anjing-anjing pemburunya. Parameswara tertarik dengan kegagahan pelanduk itu lalu beliau memutuskan membina sebuah penempatan di kawasan tersebut. Selepas menanyakan nama pokok (Pokok Melaka) yang diteduhnya, Parameswara menamakan tempat itu "Melaka".

Ancaman serangan daripada pihak Siam menyebabkan keputusan Parameswara membayar ufti kepada negara China pada tahun 1409 supaya mendapat perlindungan. Pada tahun 1411, diiringi oleh Laksamana Cheng Ho, beliau melawat negara China dengan rombongan pengiring sebanyak 540 orang untuk pertemuan dengan Maharaja Ming, Yung Lo.

Parameswara memeluk Islam pada tahun 1414 melalui perkahwinannya dengan puteri Pasai, Indonesia dan menukarkan nama beliau kepada "Raja Megat Iskandar Shah".

Pemerintahannya itu berkembang dengan pesat dan menjadi sebuah pelabuhan yang terpenting di Kepulauan Melayu pada abad ke-15 dan ke-16. Tambahan pula, Melaka merupakan tempat perdagangan rempah dengan berfungsi sebagai pintu kepada negeri-negeri rempah untuk memasarkan rempah mereka. Ini dapat digambarkan menerusi Duarte Barbosa yang berkata, "Sesiapa yang menguasai Melaka, dia dapat menguasai perdagangan dunia" (He who is lord of Malacca has his hand on the throat of Venice.)

Faktor-faktor yang menyumbang kepada Melaka menjadi sebuah negeri yang maju adalah kerana pelabuhannya terlindung daripada ancaman Monsun Barat Daya dan Monsun Timur Laut. Pedagang-pedagang dari Jawa, Arab, India, China dan lain-lain dapat berlindung di Melaka sehinggalah keadaan selamat untuk mereka ke laut semula. Semasa pemerintahan Parameswara, ramai orang Cina menetap di Melaka, berdekatan kawasan Bukit Cina yang mempunyai feng shui yang terbaik pada masa itu.

Iskandar Shah mangkat pada tahun 1424 dan diwarisi oleh anaknya, Sri Maharaja, yang mengambil gelaran "Sultan Muhammad Shah" (1424-1444). Pada kemangkatannya dalam tahun 1444, beliau diganti oleh putera bongsunya, Raja Ibrahim. Raja Ibrahim kemudian dibunuh dan dimakamkan dengan gelaran "Sultan Abu Syahid".

Raja Kassim menaiki tahta pada tahun 1445 dan memakai gelaran "Sultan Muzaffar Shah" (1445-1459) menaiki takhta dan mengisytiharkan Islam sebagai agama rasmi negeri. Pendakwah-pendakwah Islam dihantar oleh Sultan ke seluruh Kepulauan Melayu seperti Jawa, Borneo dan Filipina. Sebahagian besar penduduk Asia Tenggara pada ketika itu beragama Hindu. Semasa pemerintahannya, pihak Siam membuat serangan pertama ke atas Melaka pada tahun 1447 tetapi ditewas tidak jauh dari Muar. Pada tahun 1456, Tun Perak menjadi bendahara dengan gelaran "Bendahara Paduka Raja". Beliau berkhidmat di bawah empat Sultan dan merupakan tulang belakang kepada perkembangan Melaka ke mercu kekuasaannya di Kepulauan Melayu. KESULTANAN MELAKA
Tempoh Sultan
1400 – 1424 Sultan Iskandar Shah
1424 – 1444 Sultan Muhammad Shah
1444 – 1445 Sultan Abu Syahid
1445 – 1459 Sultan Muzaffar Shah
1459 – 1477 Sultan Mansur Shah
1477 – 1488 Sultan Alauddin Riayat Shah
1488 – 1511 Sultan Mahmud Shah

Kegemilangan Kesultanan Melaka

Pada tahun 1459, Sultan Mansur Shah (1459 - 1477) menaiki takhta. Disebabkan kedudukannya yang strategik, Melaka menjadi sebuah pangkalan luar yang penting bagi kapal-kapal. Bagi mengeratkan hubungan diplomatik dengan Melaka, Maharaja China telah menganugerahkan anaknya Puteri Hang Li Po dengan tujuan untuk dikahwinkan dengan Sultan Mansur Shah. Untuk menyambut Hang Li Po, Sultan Mansur Shah juga menghantar Tun Perpatih Putih dengan segolongan pengiring ke negeri China untuk mengiringnya. Hang Li Po tiba di Melaka pada tahun 1458 bersama-sama 500 orang pengiring.

Salah satu kesan kebudayaan yang berpunca daripada peristiwa ini ialah wujudnya kelompok kaum Peranakan, iaitu hasil daripada perkahwinan campur di antara pendatang Cina dengan penduduk tempatan. Kaum Peranakan ini juga dikenali sebagai orang Baba dan Nyonya pada hari ini.

Semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah, empayar Melaka mencapai kemuncak kuasanya dan terdiri daripada Semenanjung Malaysia, Singapura, dan sebahagian besar Sumatera. Pesaing utama Melaka ialah Siam di utara dan Majapahit di selatan. Majapahit kemudiannya tumbang pada kurun ke-15. Siam pula telah menyerang Melaka sebanyak tiga kali tetapi kesemua cubaan serangan tersebut telah gagal.

Kejayaan Melaka

Selepas Melaka muncul sebagai sebuah pusat perdagangan baru menggantikan Srivijaya pada Abad ke-15, Melaka telah berjaya mencapai kejayaan yang lebih besar kesan daripada faktor perdagangan yang semakin berkembang pesat. Melaka telah muncul sebagai kuasa besar di Kepulauan Tanah Melayu yang setaraf dengan kuasa besar lain seperti Siam, Srivijaya, dan China. Melaka yang pada mulanya merupakan sebuah kerajaan kecil telah berkembang dan mengambil alih peranan pusat perdagangan yang dulunya dipegang oleh Srivijaya. Kejayaan menarik tumpuan perdagangan dari Srivijaya ini telah mengangkat martabat Melaka ke tahap yang lebih tinggi kerana pada zaman dahulu hanya kuasa-kuasa besar sahaja yang mampu untuk mengendalikan pusat perdagangan yang cekap dan berupaya menyediakan kemudahan infrastruktur yang moden.

Keupayaan Melaka telah menyebabkan sebilangan negeri yang dulunya berada di bawah kekuasaan kuasa Siam dan Jawa telah meminta naungan dan perlindungan daripada kekuasaan Melaka. Contoh negeri tersebut ialah seperti Bernam, Klang, Selangor, Sungai Ujung, Kedah, dan Patani yang secara sukarela datang mendapatkan nobat daripada Melaka. Manakala Pasai pula sebagai ‘abang tua’ dalam perdagangan dan agama, sentiasa ‘berkirim salam’ dengan Melaka. Bukti kemunculan Melaka sebagai satu kuasa besar yang baru ialah Melaka telah dua kali berjaya menangkis serangan Siam dan akhirnya berjaya menguasai Kelantan, menjelang kurun ke-16 Melaka telah memutuskan hubungan hormat dengan Siam. Hal ini menunjukkan Melaka bukan sahaja berjaya mencontohi kejayaan Srivijaya dalam perdagangan tetapi juga dari segi perluasan wilayah.

Kejayaan Melaka memainkan peranannya sebagai sebuah enterport baru dapat dilihat dalam tiga bentuk iaitu bertindak sebagai penerima atau pembeli barang-barangan, menjadi pengantara menemukan pedagang Timur dan Barat termasuk Nusantara, dan juga bertindak sebagai penyebar barang-barangan yang dibawa ke Melaka ke tempat lain. Walaupun Melaka merupakan warisan Srivijaya, namun pencapaian Melaka adalah berbeza daripada Srivijaya kerana Melaka merupakan tempat yang menjadi asas kepada pegangan yang menjadi nadi menggerakan seluruh kegiatan pemerintahan dan rakyatnya sehingga kini.

Kejatuhan Melaka

Pada tahun 1488, Sultan Mahmud Shah mewarisi Melaka yang telah mencapai kemuncak kuasa dan merupakan pusat dagangan yang unggul di Asia Tenggara. Bendahara Tun Perak, pencipta keunggulan Melaka, telah tua. Begitu juga dengan Laksamana Hang Tuah. Pemerintahan Sultan Mahmud Shah juga mengalami rancangan jahat dan pilih kasih. Beliau bukan seorang raja yang cekap, akan tetapi beliau juga seorang mangsa keadaan. Ayahandanya (Sultan Alaudin Riayat Shah) mangkat pada usia yang masih muda. Oleh itu baginda menaiki takhta ketika masih kanak-kanak. Portugal pada awal abad ke-16 sedang mengasaskan sebuah empayar luar negeri.

Pada tahun 1509, Diego Lopez de Sequiera dengan 18 buah kapal dari Angkatan diRaja Portugal tiba di Melaka. Mereka merupakan orang Eropah pertama yang tiba di Asia Tenggara dan digelar "Benggali Putih" oleh orang tempatan. Oleh kerana orang-orang Portugis membuat kacau di Melaka seperti mengusik gadis-gadis dan mencuri, disamping perselisihan faham, Sultan Mahmud Shah kemudiannya mengarahkan supaya orang-orang Portugis dihalau dari Melaka. Angkatan Portugis diserang dan 20 anak kapalnya ditahan.

Pada 10 Ogos 1511, sebuah armada laut Portugis yang besar dari India diketuai oleh Alfonso de Albuquerque kembali ke Melaka. Albuquerque membuat beberapa permintaan membina markas Portugis di Melaka tetapi permintaannya ditolak oleh Sultan Mahmud Shah. Selepas 10 hari mengepung, pihak Portugis berjaya menawan Kota Melaka pada 24 Ogos. Sultan Mahmud Shah terpaksa melarikan diri ke Pahang di pantai timur di mana beliau gagal dalam percubaannya mendapat pertolongan daripada negera China.

Kemudiannya, Sultan Mahmud Shah berpindah ke selatan dan mengasaskan Kesultanan Johor sebagai pusat dagangan saingan kepada Melaka. Dengan ibu kotanya di pulau Bentan yang terletaknya berdekatan dengan Temasik (Singapura), beliau terus menerima ufti dan kesetiaan dari kawasan-kawasan sekeliling yang diberinya sewaktu beliau masih menjadi Sultan Melaka. Sultan Mahmud Shah menjadi ketua gabungan Melayu dan berkali-kali menyerang Melaka. Pada tahun 1525, Laksamana Hang Nadim berjaya mengepung Kota A Famosa sehingga pihak Portugis terpaksa membuat catuan makanan dari Goa.

Pada 1526, pihak Portugis membalas dengan seangkatan kapal yang besar di bawah Pedro Mascarenhaas dan memusnahkan ibu kota Bentan. Sultan Mahmud Shah melarikannya ke Kampar, Sumatera tetapi anakandanya, Tengku Alauddin Shah tinggal dan mengembangkan Johor sebagai sebuah empayar yang berkuasa dan yang mencapai keunggulannya pada abad ke-18 dan ke-19. Lagi seorang anakanda Sultan Mahmud Shah, Tengku Muzaffar Shah, dijemput oleh orang-orang utara untuk menjadi sultan mereka dan beliau mengasaskan Kesultanan Perak

Sultan Mahmud Shah mangkat dua tahun kemudian di Kampar pada tahun 1526.

Kebudayaan dan ekonomi

Sektor pelancongan dan pembuatan adalah sektor utama dalam menjana ekonomi negeri. Melaka telah mengamalkan slogan "Melawat Melaka Bererti Melawat Malaysia". Melaka kaya dengan tempat-tempat yang menarik dan bersejarah.

Melaka juga terkenal untuk makanan, terutamanya gaya masakan Baba dan Nyonya yang terdirinya daripada gaya masakan Cina dan Melayu. Kebanyakan hidangannya adalah pedas dan berempah.

Sehingga hari kini, kebanyak adat-adat kuno yang berasal daripada pendudukan Portugis masih diamalkan, termasuknya "Intrudu" (sejenis perayaan air yang menandakan permulaan musim Lent, iaith musim puasa bagi orang Katolik), "branyu" (sejenis tarian tradisional) dan "santa cruz" (sejenis perayaan jalan tahunan)

Selain daripada pelancongan, Melaka juga menjadi pusat pengeluaran barangan tempatan daripada makanan dan barangan konsumer kepada barangan komponen-komponen senjata dan automotif berteknologi tinggi, elektronik serta komponen-komponen komputer. Terdapatnya sekurang-kurang 23 kawasan perindustrian yang merangkumi lebih kurang 500 kilang Amerika Syarikat, Jerman, Jepun, Taiwan dan Singapura.

Perkhidmatan perubatan swasta di Melaka semakin dicari oleh pesakit-pesakit sejauh Indonesia dan Singapura. Hospital Straits, Hospital Putra (dulu dikenali sabagai Hospital Southern), Hospital Melaka dan Pusat Perubatan Pakar Pantai merupakan pusat perubatan swasta yang amat popular. Mereka menyediakan perkhidmatan perubatan yang setaraf dengan kebanyakan negara maju yang lain. Kerajaan Negeri Melaka ialah pemegang saham utama Hospital Putra.

Tarikan bersejarah utama

Destinasi pelancongan terutama ialah:

Kota A Famosa: Dibina oleh pihak Portugis pada tahun 1511 sebagai kubu pertahanan, ia telah mengalami kerosakkan struktur yang agak teruk semasa pencerobohan Belanda. Pihak British telah bercadang untuk memusnahkannya tetapi campurtangan Sir Stamford Raffles pada tahun 1808 telah menyelamatkan apa yang tertinggal sebagai A' Famosa pada hari ini.
Kota St. John: Dibina semula oleh pihak Belanda semasa suku ketiga abad ke-18, kubu ini mempunyai meriam yang mengadap ke tanah besar kerana pada masa itu, serangan ke atas Melaka datang terutamanya dari tanah besar dan bukan dari arah laut.
Gereja St. Peter: Dibina pada tahun 1710 semasa pemerintahan Belanda di Melaka, ia merupakan gereja Katolik tertua di Malaysia. Dinding depan dan perhiasannya adalah penggabungan seni rekabentuk timur dan barat. Locengnya di bawa khas dari Goa pada tahun 1608.


Gereja St. Paul: Dibina pada tahun 1521 oleh Kapten Portugis yang bernama Duarte Coelho, gereja ini yang dinamakan "Our Lady of The Hill" kemudiannya ditukar oleh pihak Belanda kepada tempat persemadian bangsawan dan di namakan "Gereja St. Paul". St. Francis Xavier telah dipelihara di dalam perkuburan terbuka gereja ini pada tahun 1553 sebelum dibawa dengan kapal ke Goa, India.
Gereja Christ: Dibina pada tahun 1753, struktur gereja ini melambangkan seni rekabentuk Belanda yang tulin. Bangunan ini mengandungi bangku gereja yang dibuat dengan tangan, siling cahaya matahari yang dibina tanpa sambungan, kitab Injil tembaga, batu nisan yang ditulis dalam bahasa Armenia dan lukisan "Last Supper".
Gereja St. Francis Xavier: Dibina pada tahun 1849 oleh Paderi Farve, seorang rakyat Perancis, menara gereja ini dibina khas bagi memperingati St. Francis Xavier. Dikenali sebagai "Mubaligh Sulung di Timur" (Apostle of the East), St. Francis Xavier dikenang dengan kerja-kerja dakwah menyebarkan agama Katolik di Asia Tenggara pada abad ke-16.
Bangunan Stadthuys: Dibina pada tahun 1650 sebagai penempatan rasmi Gabenor Belanda dan Timbalan Gabenor, struktur bangunan ini melambangkan seni rekabentuk Belanda. Ia kini menjadi "Muzium Sejarah dan Etnografi". Paparan harian muzium ini ialah pakaian pengantin tradisional dan artifak dari zaman kegemilangan Melaka.
Jalan Hang Jebat (Jonker Street): Terkenal untuk barangan antiknya.
Dalam usaha menambahkan daya tarikan, kerajaan negeri telah menubuhkan pelbagai muzium sebagai gedung koleksi peradaban.

Tarikan lain:

Menara Taming Sari: Menara pandang setinggi 110 meter.