Thursday 1 October 2009

Johor



Johor Darul Ta'zim ialah sebuah negeri di Malaysia yang terletak di selatan Semenanjung Malaysia dan bersempadankan:

Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang di utara;
Laut China Selatan di timur;
Selat Tebrau di selatan; dan
Selat Melaka di barat.
Kedudukan Johor dari segi keluasan, penduduk dan kepadatan dalam persekutuan Malaysia yang terdiri daripada 14 buah negeri (termasuk Wilayah Persekutuan) adalah seperti berikut:

Keluasan: ke-5 terbesar di Malaysia, dan ke-3 terbesar di Semenanjung Malaysia
Penduduk: ke-2 tertinggi di Malaysia serta di Semenanjung Malaysia
Kepadatan: ke-7 terpadat di Malaysia serta di Semenanjung Malaysia.
Ibu negerinya ialah Johor Bahru. Darul Ta'zim, nama gelaran Arabnya, bermaksud "tempat perlindungan yang maruah".

Sejarah

Sejarah Johor sudah pun bermula pada tahun 800 sebagai suatu petempat perdagangan yang penting. Semasa abad ke-14, kawasan itu menjadi wilayah tanggungan Empayar Majapahit sehingga pemerintahan Kesultanan Melaka (1400-1511) yang mana negeri Johor menjadi pula salah sebuah jajahan pemerintahannya. Pada tahun 1511, Melaka dikuasai oleh pihak Portugis dan Sultan Mahmud Shah, Sultan Melaka ketika itu, melarikan diri ke Pahang dan kemudiannya ke Bentan di Johor.

Kejatuhan Sultan Mahmud Shah
Di Bentan, Sultan Mahmud Shah mengumpulkan semula semua askarnya dan menyerang Melaka beberapa kali dan membuat sekatan perdagangan. Portugis merana kerana banyak serangan dilakukan oleh Sultan Mahmud Shah. Beberapa percubaan untuk menewaskan askar-askar Sultan Mahmud Shah dilakukan. Akhirnya, pada tahun 1526, seangkatan kapal yang besar di bawah Pedro Mascarenhaas dihantar oleh negeri Portugal untuk memusnahkan bandar Bentan. Sultan Mahmud terpaksa melarikan diri melintasi Selat Melaka ke Kampar, Sumatra di mana beliau mangkat. Baginda meninggalkan dua orang putera iaitu Tengku Muzaffar Shah dan Tengku Alauddin Riayat Shah.

Muzaffar Shah seterusnya menjadi Sultan Perak manakala Alauddin Riayat Shah menjadi sultan Johor yang pertama. Kesultanan Johor juga dikenali sebagai "Kesultanan Johor-Riau-Lingga".

Perang Tiga Segi


Sultan Alauddin Riayat Shah menubuhkan sebuah kota di Johor Lama yang terletaknya di tebing Sungai Johor dan dari situ terus melancarkan serangan ke atas kedudukan Portugis di Melaka. Baginda senantiasa bekerjasama dengan saudaranya di Perak dan juga dengan Sultan Pahang untuk menawan semula Melaka (pada ketika itu kota A Famosa telah dibina).

Di sebelah utara Sumatera pula pada masa yang sama, Aceh mula mengembangkan pengaruhnya untuk menguasai Selat Melaka. Selepas kejatuhan Melaka kepada Portugis yang beragama Kristian, pedagang-pedagang Muslim mula menjauhkan diri daripada Melaka dan singgah di Aceh. Melihat keadaan itu Portugis merasa tercabar kerana hasil perdagangannya semakin kurang.

Portugis dan Johor sentiasa berperang menyebabkan Aceh melancarkan serangan ke atas kedua-dua belah pihak. Kebangkitan Aceh di Selat Melaka mengakibatkan Johor dan Portugis berdamai dan bekerjasama melemahkan Aceh. Tetapi selepas Aceh menjadi lemah, Johor dan Portugis kembali berperang

Belanda dan Melaka

Pada abad ke-17, Belanda tiba di Asia Tenggara. Belanda bukanlah sekutu atau kawan Portugis dan ini menyebabkan Belanda bersekutu dengan Johor untuk memerangi Portugis di Melaka. Akhirnya pada tahun 1641, Belanda dan Johor berjaya menewaskan Portugis. Melaka kemudiannya menjadi milik Belanda sehinggalah Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 ditandatangani.

Perang Johor-Jambi

Semasa Perang Tiga Segi, Jambi yang berada di bawah kekuasaan Johor menjadi tumpuan ekonomi dan politik. Pada tahun 1666, Jambi cuba membebaskan diri daripada kekuasaan Johor dan di antara tahun 1666 hingga tahun 1673 terjadilah peperangan di antara Johor dan Jambi. Ibu kota Johor iaitu Batu Sawar dimusnahkan oleh angkatan Jambi. Hal ini menyebabkan ibu kota Johor sentiasa berpindah-randah.

Sepanjang perang itu Jambi yang sentiasa mendapat keuntungan. Tetapi pada tahun 1679, Laksamana Tun Abdul Jamil mengupah askar upahan Bugis untuk bersama-sama dengan tentera Johor menentang Jambi. Tidak lama kemudian Jambi pun tewas.

Krisis antara Johor dan Jambi bermula apabila kedua-dua pihak berselisih faham mengenai perebutan kawasan yang bernama Tungkal. Pada masa ini Johor diperintah oleh Sultan Abdul Jalil Shah III dan peranan pentadbiran lebih banyak dimainkan oleh Raja Muda. Dalam usaha untuk mendapatkan semula Tungkal dari tangan orang Jambi, orang Johor telah menghasut penduduk Tungkal untuk memberontak. Hal ini menimbulkan kemarahan Pemerintah Jambi. Namun kekuatan ketenteraan Johor yang disegani pemerintah Jambi pada waktu itu menyebabkan Jambi memilih untuk berdamai. Ketegangan antara Johor dan Jambi telah dapat diredakan menerusi perkahwinan antara Raja Muda Johor dengan Puteri Sultan Jambi pada tahun 1659.

Namun persengketaan antara Johor dan Jambi kembali meletus berpunca daripada tindakan kedua-dua pihak yang saling menghina kedaulatan kerajaan masing-masing. Johor telah memulakan episod perperangan dengan Jambi apabila menghantar 7 buah kapal untuk menyerang perkampungan nelayan Jambi pada bulan Mei 1667. Kegiatan perdagangan semakin merosot akibat perperangan yang berlaku kerana tiada jaminan keselamatan kepada pedagang untuk menjalankan urusniaga di kawasan bergolak ini. Hal ini menyebabkan kerugian ekonomi kepada Johor. Kemuncak peristiwa perperangan ini berlaku apabila Pengeran Dipati Anum mengetuai sebuah angkatan perang untuk menyerang dan memusnahkan Johor secara mengejut pada 4 April 1673. Serangan ini telah melumpuhkan sistem pentadbiran kerajaan Johor. Dalam usaha menyelamatkan diri, Raja Muda bersama seluruh penduduk Johor telah lari bersembunyi di dalam hutan. Bendahara Johor telah ditawan dan dibawa pulang ke Jambi.

Sultan Abdul Jalil Shah III pula melarikan diri ke Pahang. Baginda akhirnya meninggal dunia di sana pada 22 November 1677. Perperangan yang menyebabkan kekalahan kerajaan Johor ini telah mengakibatkan kerugian yang besar kepada Johor kerana Jambi telah bertindak merampas semua barang berharga milik kerajaan Johor termasuk 4 tan emas, sebilangan besar senjata api yang merupakan simbol kemegahan dan kekuatan Johor. Kehilangan senjata api dan tentera yang ramai menyebabkan kerajaan Johor tidak berupaya berbuat apa-apa secara tidak langsung menyebabkan kerajaan Johor runtuh.

Pengaruh Bugis dan Minangkabau

Sultan Mahmud Shah II mangkat pada tahun 1699 tanpa meninggalkan sebarang waris. Melihatkan keadaan itu, Bendahara Abdul Jalil melantik dirinya sebagai sultan baru dengan digelar Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV. Tetapi timbul perasaan tidak puas hati di kalangan pembesar-pembesar lain di atas perlantikan itu.

Orang Bugis yang memainkan peranan penting sewaktu Perang Johor-Jambi mempunyai pengaruh yang kuat di Johor. Selain daripada orang Bugis, orang Minangkabau juga mempunyai pengaruh yang kuat. Orang Bugis dan Minangkabau percaya dengan kematian Sultan Mahmud II, mereka dapat mengembangkan pengaruh mereka di Johor. Di kalangan orang Minangkabau terdapat seorang putera dari Siak iaitu Raja Kecil yang mengaku dirinya sebagai waris tunggal Sultan Mahmud II. Raja Kecil menjanjikan kepada orang Bugis bahawa sekiranya mereka menolongnya menaiki takhta dia akan melantik ketua orang-orang Bugis sebagai Yam Tuan Muda Johor.Pada masa itu orang-orang Bugis telah memberikan alasan untuk pergi ke Selangor bagi mengumpul orang-orangnya sebelum melancarkan serangan. Walau bagaimanapun, pada tahun 1717, Raja Kecil dan askar dari Siak (Minangkabau) telah menyerang Johor terlebih dahulu setelah terlalu lama menunggu kedatangan orang-orang Bugis. Pada 21 Mac 1718, Raja Kecil telah menawan Panchor. Raja Kecil melantik dirinya sebagai Yang Dipertuan Johor dan bergelar Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah. Setelah Raja Kecil berjaya menduduki tahta Johor orang-orang Bugis telah datang menuntut janji untuk dilantik sebagai Yam Tuan Muda. Permintaan ini telah tidak diperkenankan oleh Raja Kecil kerana orang-orang Bugis tadi telah tidak memberikan bantuan sebagaimana yang diminta oleh Raja Kecil.

Tidak puas hati dengan perlantikan Raja Kecil, bekas Bendahara Abdul Jalil meminta Daeng Parani ketua orang Bugis untuk menolongnya mendapatkan semula takhta.Permintaan ini telah dipersetujui oleh orang-orang Bugis kerana mereka juga kecewa kerana tidak dapat menuntut jawatan Yam Tuan Muda. Pada tahun 1722, Raja Kecil terpaksa meletakkan takhta kerana pengaruh Bugis. Anak Bendahara Abdul Jalil kemudiannya dilantik menjadi sultan dengan gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Tetapi Sultan Sulaiman hanyalah seorang sultan tetapi tidak mempunyai kuasa kerana Daeng Merewah, daripada orang Bugis yang memegang kuasa sebagai Yamtuan Muda.

Singapura dan British
Pada 1818, Sir Stamford Raffles dilantik menjadi gabenor di Bengkulu, Sumatera. Dia percaya bahawa British perlu menubuhkan sebuah penempatan yang baru di Asia Tenggara sekiranya mereka ingin bersaing dengan Belanda. Walaupun banyak bantahan diterima dalam Syarikat Hindia Timur Inggeris tetapi Gabenor British di India menyebelahinya. Dengan persetujuan gabenor, beliau memulakan ekspedisi mencari penempatan baru.

Raffles tiba di Singapura pada 29 Januari 1819. Dia menjumpai sebuah perkampungan Melayu kecil di muara Sungai Singapura yang diketuai oleh seorang Temenggung Johor. Pulau itu ditadbir oleh Kesultanan Johor tetapi keadaan politiknya tidak stabil. Waris Sultan Johor, Tengku Abdul Rahman dikuasai oleh Belanda dan Bugis. Raffles kemudiannya mengetahui bahawa Tengku Abdul Rahman menjadi sultan hanya kerana abang sulungnya, Tengku Hussein tidak ada semasa ayahnya meninggal dunia. Mengikut adat Melayu, bakal sultan perlu berada disisi sultan sekiranya ingin dilantik menjadi sultan.

Sedar bahawa dia boleh memanipulasikan keadaan ini, Raffles telah menyokong Tengku Hussein untuk menjadi Sultan sekiranya Tengku Hussein sanggup membenarkan British membuka pelabuhan di Singapura dan sebagai balasan British akan membayar wang tahunan kepada Tengku Hussein. Perjanjian ini menjadi sah pada 6 Februari 1819.

Dengan bantuan Temenggung, Raffles berjaya menyeludup Tengku Hussein yang ketika itu tinggal di Riau kembali ke Johor.

Belanda berasa amat tidak puas hati dengan keadaan ini tetapi dengan termeterainya Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, Belanda mengakui Singapura menjadi milik British. Perjanjian ini menyebabkan Kesultanan Johor terbahagi kepada dua iaitu Johor moden dan Kesultanan Riau yang baru.

Di dalam Johor yang baru, walaupun Tengku Hussein ialah sultan tetapi Temenggung yang menguasai Johor. Bugis pula menguasai Riau.

Wangsa Bendahara

Pada tahun 1855, di bawah perjanjian di antara British di Singapura dan Sultan Ali dari Johor, kuasa memerintah Johor diserahkan kepada Raja Temenggung Tun Daeng Ibrahim dengan Muar masih lagi di bawah kekuasaan sultan. Muar kemudiannya diserahkan kepada Temenggung Ibrahim pada tahun 1877. Temenggung Ibrahim membuka sebuah bandar iaitu Bandar Tanjung Puteri di selatan Johor dan menjadikannya sebagai sebuah bandar utama. Bandar Tanjung Puteri kemudiannya dikenali sebagai Johor Bahru.

Temenggung Ibrahim kemudiannya digantikan oleh anaknya, Temenggung Abu Bakar yang kemudiannya memegang gelaran Seri Maharaja Johor. Pada tahun 1866, dia dilantik menjadi sultan Johor secara rasmi. Sultan Abu Bakar Daeng Ibrahim memperkenalkan sebuah perlembagaan dan menubuhkan sebuah sistem pentadbiran yang cekap dan berkesan. Baginda juga memerintahkan dibinanya Istana Besar, tempat tinggal rasmi sultan. Sultan Abu Bakar kemudiannya dikenali sebagai Bapa Johor Moden.

Johor juga menikmati pembangunan ekonomi yang cemerlang. Permintaan lada hitam dan gambir yang tinggi pada kurun ke-19 menyebabkan pembukaan ladang-ladang baru dan kemasukan buruh Cina secara beramai-ramai. Sistem Kangchu dilaksanakan.

Pada tahun 1914, Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar terpaksa menerima seorang Residen British

Malaysia dan Johor
Perang Dunia II meletus pada tahun 1939. British yang bertanggungjawab dalam aspek pertahanan Johor dikalahkan dengan mudah oleh tentera Jepun. Jepun menduduki Johor dari tahun 1941 hingga tahun 1945.

Selepas tamatnya peperangan, British kembali ke Johor dan pada tahun 1946, Johor menjadi sebahagian daripada Malayan Union. Nasionalisme Melayu yang diketuai oleh Dato' Onn Jaafar daripada UMNO menyebabkan Malayan Union dibatalkan dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu. Tanah Melayu kemudiannya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan kemudiannya pada tahun 1963, Johor adalah salah satu daripada 14 buah negeri yang menyertai Malaysia.

Garis masa

1511-1528: Sultan Mahmud Shah I
1528-1564: Sultan Alauddin Riayat Shah II (Raja Ali/Raja Alauddin)
1564-1570: Sultan Muzaffar Shah II (Raja Muzafar/Radin Bahar)
1570-1571: Sultan Abd. Jalil Shah I (Raja Abdul Jalil)
1570/71-1597: Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II (Raja Umar)
1597-1615: Sultan Alauddin Riayat Shah III (Raja Mansur)
1615-1623: Sultan Abdullah Ma'ayat Shah (Raja Mansur)
1623-1677: Sultan Abdul Jalil Shah III (Raja Bujang)
1677-1685: Sultan Ibrahim Shah (Raja Ibrahim/Putera Raja Bajau)
1685-1699: Sultan Mahmud Shah II (Raja Mahmud)
1699-1720: Sultan Abdul Jalil IV (Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Jalil)
1718-1722: Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah (Raja Kecil/Yang DiPertuan Johor)
1722-1760: Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (Raja Sulaiman/Yang DiPertuan Besar Johor-Riau)
1760-1761: Sultan Abdul Jalil Muazzam Shah
1761: Sultan Ahmad Riayat Shah
1761-1812: Sultan Mahmud Shah III (Raja Mahmud)
1812-1819: Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah (Tengku Abdul Rahman)
1819-1835: Sultan Hussain Shah (Tengku Husin/Tengku Long)
1835-1877: Sultan Ali (Tengku Ali; tetapi baginda tidak diiktiraf oleh Inggeris)
1855-1862: Raja Temenggung Tun Daeng Ibrahim (Seri Maharaja Johor)
1862-1895: Sultan Abu Bakar Daeng Ibrahim (Temenggung Che Wan Abu Bakar/Ungku Abu Bakar)
1895-1959: Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar
1959-1981: Sultan Ismail ibni Sultan Ibrahim
1981-kini: Sultan Mahmood Iskandar Al-Haj

Ekonomi

Negeri Johor merupakan salah satu daripada negeri-negeri yang lebih maju di Malaysia. Ekonominya terdiri daripada campuran pertanian, pengeluaran, perdagangan dan pelancongan.

Johor ialah pengeluar utama bagi getah, nenas dan minyak kelapa sawit. Hutannya merupakan asas untuk perkembangan pemprosesan kayu-kayan dan kayu balak. Sewaktu 1980-an, terdapat perkembangan utama taman-taman perindustrian dan projek perbandaran diseluruh negeri. Pelbagai syarikat antarabangsa daripada Singapura telah berpindah ke Johor untuk mengambil kesempatan daripada kos yang lebih rendah. Industri-industri utamanya termasuk elektronik, tekstil, pembinaan kapal, dan juga kilang-kilang penapis minyak kepala sawit dan bahan sumber semulajadi serta bahan kimia daripada petroleum.

Ramai penduduk di Johor juga berulang-alik setiap hari ke tempat kerja di Singapura disebabkan upah yang lebih lumayan.

Kebudayaan negeri Johor mengandungi pelbagai aspek daripada kaum Melayu, Cina, India dab lain-lain bangsa, termasuk orang asli dan orang Portugis. Campuran ini dibayangkan oleh tempat sembahyang yang terdiri daripada masjid-masjid, kuil-kuil dan gereja-gereja yang berwujud di sisi satu sama lain. Selainnya, ia juga dibayangkan dalam pelbagai makanan tempatan, kostum, perayaan dan upacara amal.

Wilayah Pembangunan Iskandar telah dilancarkan pada 4 November 2006 di bahagian selatan negeri Johor

Kebudayaan tradisi Melayu Johor

Kuda kepang dan zapin merupakan tarian tradisional Melayu di Johor. Kuda Kepang ialah sejenis tarian yang dipersembahkan dengan kostum yang mewah serta kuda tenunan. Ia memaparkan pahlawan-pahlawan yang berkuda berlawan dalam pertempuran yang semakinnya menjadi cergas sehingga perayaan kemenangan.

Ghazal dan Barongan adalah tulang belakang nyanyian tradisional Melayu. Ghazal melibatkan segolongan kecil ahli muzik yang bermain alat muzik moden dan tradisional, dan seringnya dipersembahkan dalam majlis rasmi.

Di Johor juga terdapat dua jenis teater tradisional yang dikenali sebagai Hamdolok dan Wayang Kulit Purwa (atau Wayang Kulit Jawa).

Pakaian tradisional Johor termasuk:

Baju cekak musang
Baju Teluk Belanga
Kurung Johor
Kurung Riau
Belah kebaya panjang

Pelancongan

Negeri Johor mempunyai banyak tarikan pelancongan, terutamanya:

1. Desaru: pantai-pantai dan padang golf di pantai Laut China Selatan;
Johor Bahru: sebuah daerah diraja yang mempunyai banyak kompleks membeli-belah dan pasar malam;
2. Kota Tinggi: mempunyai air terjun yang tingginya 34 meter.
Kukup: sebuah kampung perikanan dengan restoran-restoran makanan laut yang dibina diatas laut;
3. Muar: sebuah bandar yang cantik di tebing sungai;
Kepulauan Seribuat: terdiri daripada pulau-pulau yang mempunyai terumbu karang dan pantai yang indah;
4. Tanjung Piai: merupakan hujung yang paling selatan di benua Asia.
Negeri Johor juga mempunyai lima taman negara dengan jumlah keluasan yang melebihi 700 kilometer persegi serta banyak hutan lipur yang lebih kecil untuk menarik kedatangan pelancong:

1. Taman Negara Endau-Rompin
2. Taman Negara Gunung Ledang
3. Taman Negara Tanjung Piai
4. Taman Negara Pulau Kukup
5. Taman Negara Johor Kepulauan Mersing
6. Hutan Lipur Gunung Pulai
7. Hutan Lipur Gunung Arong
8. Hutan Lipur Gunung Lambak
9. Hutan Lipur Gunung Belumut (Moss Mountain)
10. Hutan Lipur Gunung Panti.










Melaka



Negeri Melaka (Tulisan Jawi: ملاك; juga dikenali sebagai Melaka Negeri Bersejarah atau Negeri Hang Tuah) adalah sebuah negeri yang terletak di barat Semenanjung Malaysia dan bersempadankan:

Negeri Sembilan di utara;
Johor di tenggara; dan
Selat Melaka di barat.
Kedudukan Melaka dalam persekutuan Malaysia yang terdiri daripada 14 negeri (termasuk Wilayah Persekutuan) adalah seperti berikut:

Keluasan: keempat terkecil di Malaysia (tangga ke-11), serta di Semenanjung Malaysia (tangga ke-9)
Penduduk: kedua terkecil di Malaysia (tangga ke-13), serta di Semenanjung (tangga ke-13)
Kepadatan penduduk: ke-4 terpadat di Malaysia serta di Semenanjung.
Ibu negerinya Bandaraya Melaka. Walaupun merupakan negeri pertama mengasaskan Kesultanan Melayu, Melaka kini tidak mempunyai seorang Sultan, sebaliknya negeri ini diketuai oleh seorang Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri.

Sejarah

Kesultanan Melayu Melaka diasaskan oleh Parameswara, seorang putera Palembang beragama Hindu yang berasal dari Palembang di antara tahun 1400 hingga tahun 1403. Pada awalnya Melaka bukanlah sebuah kerajaan Islam. Hal ini berubah pada tahun 1409[1] apabila Parameswara berkahwin dengan puteri dari Pasai. Agama Islam dijadikan sebagai agama rasmi Kesultanan Melayu Melaka oleh Sultan Muzaffar Syah. Pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka berterusan selama lebih satu abad sehinggalah Melaka tewas di tangan penjajah Portugis pimpinan Alfonso de Albuquerque pada 1511. Sultan Mahmud Shah merupakan sultan terakhir Kesultanan Melayu Melaka. Pada 1528, seorang putera baginda Sultan Alauddin Riayat Shah II menubuhkan Kesultanan Johor bagi mewarisi Kesultanan Melaka.

Menurut Sejarah Melayu, Parameswara (nama asal baginda ialah Dharmaraja) adalah Raja Singapura terakhir yang berasal dari keturunan Srivijaya. Pada tahun 1324, seorang putera Srivijaya dari Bintan bernama Sang Nila Utama telah menawan Temasek dan menubuhkan kerajaan Singapura lama. Baginda memerintah selama 48 tahun dan diiktiraf sebagai Raja Singapura oleh satu utusan dari Maharaja China pada tahun 1366. Baginda secara rasmi bergelar Sri Maharaja Sang Utama Parameswara Batara Sri Tri Buana, Batara Sri Tri Buana bermaksud "Yang Dipertuan kepada tiga dunia" melambangkan kekuasaan baginda ke atas Palembang, Bintan dan Temasek. Terdapat tiga orang lagi Raja dari keturunan baginda yang memerintah Singapura iaitu, Paduka Sri Pekerma Wira Diraja (1372 – 1386), Paduka Seri Rana Wira Kerma (1386 - 1399) dan yang terakhir Paduka Sri Maharaja Parameswara (1399 - 1401). Pada 1401, kerajaan Majapahit menyerang Singapura dengan bantuan Bendahara yang belot, Sang Rajuna Tapa. Parameswara yang tewas melarikan diri dengan baki pengikutnya ke semenanjung tanah melayu untuk membuka ibu negeri yang baru.[2][3]

Menurut "Suma Oriental", Parameswara ialah seorang raja Palembang yang menggantikan ayahandanya, Raja Sam Agi. Beliau diserang oleh Raja Jawa, Batara Tamavill, sewaktu beliau menggelarkan dirinya sebagai Mjeura ("orang yang berani"). Ekoran daripada itu, beliau melarikan diri ke Singapura. Setelah membunuh wakil Raja Siam (bernama Tamagi) di Singapura, Parameswara menjadi pemerintah palsu pada satu tempoh yang tidak lama kerana beliau telah diserang dan dihalau oleh pihak Siam tidak lama selepas itu. Dengan seribu pengikutnya, beliau menuju ke pantai barat Semenanjung Melayu untuk mencari tempat perlindungan yang baru.

Menurut Sejarah Melayu ("Malay Annals") yang dikarang oleh Tun Sri Lanang pada tahun 1565, Parameswara melarikan diri ke Muar tetapi diganggu oleh biawak yang tidak terkira banyaknya. Penetapan di tempat yang kedua di Kota Burok juga gagal kerana kubu pertahanan yang mereka cuba mendirikan runtuh dengan serta merta. Kemudian Parameswara berpindah ke Sening Ujong. Setelah berada di sana, beliau melantik seorang menteri untuk mewakili dirinya dan kemudiannya beliau tiba di Sungai Bertam, iaitu suatu kawasan persisiran pantai. Ketika itu, orang-orang Seletar mendiami di situ dan mereka meminta Parameswara menjadi raja.

Semasa berburu di muara Sungai Bertam, Parameswara ternampak seekor pelanduk menendang salah seekor daripada anjing-anjing pemburunya. Parameswara tertarik dengan kegagahan pelanduk itu lalu beliau memutuskan membina sebuah penempatan di kawasan tersebut. Selepas menanyakan nama pokok (Pokok Melaka) yang diteduhnya, Parameswara menamakan tempat itu "Melaka".

Ancaman serangan daripada pihak Siam menyebabkan keputusan Parameswara membayar ufti kepada negara China pada tahun 1409 supaya mendapat perlindungan. Pada tahun 1411, diiringi oleh Laksamana Cheng Ho, beliau melawat negara China dengan rombongan pengiring sebanyak 540 orang untuk pertemuan dengan Maharaja Ming, Yung Lo.

Parameswara memeluk Islam pada tahun 1414 melalui perkahwinannya dengan puteri Pasai, Indonesia dan menukarkan nama beliau kepada "Raja Megat Iskandar Shah".

Pemerintahannya itu berkembang dengan pesat dan menjadi sebuah pelabuhan yang terpenting di Kepulauan Melayu pada abad ke-15 dan ke-16. Tambahan pula, Melaka merupakan tempat perdagangan rempah dengan berfungsi sebagai pintu kepada negeri-negeri rempah untuk memasarkan rempah mereka. Ini dapat digambarkan menerusi Duarte Barbosa yang berkata, "Sesiapa yang menguasai Melaka, dia dapat menguasai perdagangan dunia" (He who is lord of Malacca has his hand on the throat of Venice.)

Faktor-faktor yang menyumbang kepada Melaka menjadi sebuah negeri yang maju adalah kerana pelabuhannya terlindung daripada ancaman Monsun Barat Daya dan Monsun Timur Laut. Pedagang-pedagang dari Jawa, Arab, India, China dan lain-lain dapat berlindung di Melaka sehinggalah keadaan selamat untuk mereka ke laut semula. Semasa pemerintahan Parameswara, ramai orang Cina menetap di Melaka, berdekatan kawasan Bukit Cina yang mempunyai feng shui yang terbaik pada masa itu.

Iskandar Shah mangkat pada tahun 1424 dan diwarisi oleh anaknya, Sri Maharaja, yang mengambil gelaran "Sultan Muhammad Shah" (1424-1444). Pada kemangkatannya dalam tahun 1444, beliau diganti oleh putera bongsunya, Raja Ibrahim. Raja Ibrahim kemudian dibunuh dan dimakamkan dengan gelaran "Sultan Abu Syahid".

Raja Kassim menaiki tahta pada tahun 1445 dan memakai gelaran "Sultan Muzaffar Shah" (1445-1459) menaiki takhta dan mengisytiharkan Islam sebagai agama rasmi negeri. Pendakwah-pendakwah Islam dihantar oleh Sultan ke seluruh Kepulauan Melayu seperti Jawa, Borneo dan Filipina. Sebahagian besar penduduk Asia Tenggara pada ketika itu beragama Hindu. Semasa pemerintahannya, pihak Siam membuat serangan pertama ke atas Melaka pada tahun 1447 tetapi ditewas tidak jauh dari Muar. Pada tahun 1456, Tun Perak menjadi bendahara dengan gelaran "Bendahara Paduka Raja". Beliau berkhidmat di bawah empat Sultan dan merupakan tulang belakang kepada perkembangan Melaka ke mercu kekuasaannya di Kepulauan Melayu. KESULTANAN MELAKA
Tempoh Sultan
1400 – 1424 Sultan Iskandar Shah
1424 – 1444 Sultan Muhammad Shah
1444 – 1445 Sultan Abu Syahid
1445 – 1459 Sultan Muzaffar Shah
1459 – 1477 Sultan Mansur Shah
1477 – 1488 Sultan Alauddin Riayat Shah
1488 – 1511 Sultan Mahmud Shah

Kegemilangan Kesultanan Melaka

Pada tahun 1459, Sultan Mansur Shah (1459 - 1477) menaiki takhta. Disebabkan kedudukannya yang strategik, Melaka menjadi sebuah pangkalan luar yang penting bagi kapal-kapal. Bagi mengeratkan hubungan diplomatik dengan Melaka, Maharaja China telah menganugerahkan anaknya Puteri Hang Li Po dengan tujuan untuk dikahwinkan dengan Sultan Mansur Shah. Untuk menyambut Hang Li Po, Sultan Mansur Shah juga menghantar Tun Perpatih Putih dengan segolongan pengiring ke negeri China untuk mengiringnya. Hang Li Po tiba di Melaka pada tahun 1458 bersama-sama 500 orang pengiring.

Salah satu kesan kebudayaan yang berpunca daripada peristiwa ini ialah wujudnya kelompok kaum Peranakan, iaitu hasil daripada perkahwinan campur di antara pendatang Cina dengan penduduk tempatan. Kaum Peranakan ini juga dikenali sebagai orang Baba dan Nyonya pada hari ini.

Semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah, empayar Melaka mencapai kemuncak kuasanya dan terdiri daripada Semenanjung Malaysia, Singapura, dan sebahagian besar Sumatera. Pesaing utama Melaka ialah Siam di utara dan Majapahit di selatan. Majapahit kemudiannya tumbang pada kurun ke-15. Siam pula telah menyerang Melaka sebanyak tiga kali tetapi kesemua cubaan serangan tersebut telah gagal.

Kejayaan Melaka

Selepas Melaka muncul sebagai sebuah pusat perdagangan baru menggantikan Srivijaya pada Abad ke-15, Melaka telah berjaya mencapai kejayaan yang lebih besar kesan daripada faktor perdagangan yang semakin berkembang pesat. Melaka telah muncul sebagai kuasa besar di Kepulauan Tanah Melayu yang setaraf dengan kuasa besar lain seperti Siam, Srivijaya, dan China. Melaka yang pada mulanya merupakan sebuah kerajaan kecil telah berkembang dan mengambil alih peranan pusat perdagangan yang dulunya dipegang oleh Srivijaya. Kejayaan menarik tumpuan perdagangan dari Srivijaya ini telah mengangkat martabat Melaka ke tahap yang lebih tinggi kerana pada zaman dahulu hanya kuasa-kuasa besar sahaja yang mampu untuk mengendalikan pusat perdagangan yang cekap dan berupaya menyediakan kemudahan infrastruktur yang moden.

Keupayaan Melaka telah menyebabkan sebilangan negeri yang dulunya berada di bawah kekuasaan kuasa Siam dan Jawa telah meminta naungan dan perlindungan daripada kekuasaan Melaka. Contoh negeri tersebut ialah seperti Bernam, Klang, Selangor, Sungai Ujung, Kedah, dan Patani yang secara sukarela datang mendapatkan nobat daripada Melaka. Manakala Pasai pula sebagai ‘abang tua’ dalam perdagangan dan agama, sentiasa ‘berkirim salam’ dengan Melaka. Bukti kemunculan Melaka sebagai satu kuasa besar yang baru ialah Melaka telah dua kali berjaya menangkis serangan Siam dan akhirnya berjaya menguasai Kelantan, menjelang kurun ke-16 Melaka telah memutuskan hubungan hormat dengan Siam. Hal ini menunjukkan Melaka bukan sahaja berjaya mencontohi kejayaan Srivijaya dalam perdagangan tetapi juga dari segi perluasan wilayah.

Kejayaan Melaka memainkan peranannya sebagai sebuah enterport baru dapat dilihat dalam tiga bentuk iaitu bertindak sebagai penerima atau pembeli barang-barangan, menjadi pengantara menemukan pedagang Timur dan Barat termasuk Nusantara, dan juga bertindak sebagai penyebar barang-barangan yang dibawa ke Melaka ke tempat lain. Walaupun Melaka merupakan warisan Srivijaya, namun pencapaian Melaka adalah berbeza daripada Srivijaya kerana Melaka merupakan tempat yang menjadi asas kepada pegangan yang menjadi nadi menggerakan seluruh kegiatan pemerintahan dan rakyatnya sehingga kini.

Kejatuhan Melaka

Pada tahun 1488, Sultan Mahmud Shah mewarisi Melaka yang telah mencapai kemuncak kuasa dan merupakan pusat dagangan yang unggul di Asia Tenggara. Bendahara Tun Perak, pencipta keunggulan Melaka, telah tua. Begitu juga dengan Laksamana Hang Tuah. Pemerintahan Sultan Mahmud Shah juga mengalami rancangan jahat dan pilih kasih. Beliau bukan seorang raja yang cekap, akan tetapi beliau juga seorang mangsa keadaan. Ayahandanya (Sultan Alaudin Riayat Shah) mangkat pada usia yang masih muda. Oleh itu baginda menaiki takhta ketika masih kanak-kanak. Portugal pada awal abad ke-16 sedang mengasaskan sebuah empayar luar negeri.

Pada tahun 1509, Diego Lopez de Sequiera dengan 18 buah kapal dari Angkatan diRaja Portugal tiba di Melaka. Mereka merupakan orang Eropah pertama yang tiba di Asia Tenggara dan digelar "Benggali Putih" oleh orang tempatan. Oleh kerana orang-orang Portugis membuat kacau di Melaka seperti mengusik gadis-gadis dan mencuri, disamping perselisihan faham, Sultan Mahmud Shah kemudiannya mengarahkan supaya orang-orang Portugis dihalau dari Melaka. Angkatan Portugis diserang dan 20 anak kapalnya ditahan.

Pada 10 Ogos 1511, sebuah armada laut Portugis yang besar dari India diketuai oleh Alfonso de Albuquerque kembali ke Melaka. Albuquerque membuat beberapa permintaan membina markas Portugis di Melaka tetapi permintaannya ditolak oleh Sultan Mahmud Shah. Selepas 10 hari mengepung, pihak Portugis berjaya menawan Kota Melaka pada 24 Ogos. Sultan Mahmud Shah terpaksa melarikan diri ke Pahang di pantai timur di mana beliau gagal dalam percubaannya mendapat pertolongan daripada negera China.

Kemudiannya, Sultan Mahmud Shah berpindah ke selatan dan mengasaskan Kesultanan Johor sebagai pusat dagangan saingan kepada Melaka. Dengan ibu kotanya di pulau Bentan yang terletaknya berdekatan dengan Temasik (Singapura), beliau terus menerima ufti dan kesetiaan dari kawasan-kawasan sekeliling yang diberinya sewaktu beliau masih menjadi Sultan Melaka. Sultan Mahmud Shah menjadi ketua gabungan Melayu dan berkali-kali menyerang Melaka. Pada tahun 1525, Laksamana Hang Nadim berjaya mengepung Kota A Famosa sehingga pihak Portugis terpaksa membuat catuan makanan dari Goa.

Pada 1526, pihak Portugis membalas dengan seangkatan kapal yang besar di bawah Pedro Mascarenhaas dan memusnahkan ibu kota Bentan. Sultan Mahmud Shah melarikannya ke Kampar, Sumatera tetapi anakandanya, Tengku Alauddin Shah tinggal dan mengembangkan Johor sebagai sebuah empayar yang berkuasa dan yang mencapai keunggulannya pada abad ke-18 dan ke-19. Lagi seorang anakanda Sultan Mahmud Shah, Tengku Muzaffar Shah, dijemput oleh orang-orang utara untuk menjadi sultan mereka dan beliau mengasaskan Kesultanan Perak

Sultan Mahmud Shah mangkat dua tahun kemudian di Kampar pada tahun 1526.

Kebudayaan dan ekonomi

Sektor pelancongan dan pembuatan adalah sektor utama dalam menjana ekonomi negeri. Melaka telah mengamalkan slogan "Melawat Melaka Bererti Melawat Malaysia". Melaka kaya dengan tempat-tempat yang menarik dan bersejarah.

Melaka juga terkenal untuk makanan, terutamanya gaya masakan Baba dan Nyonya yang terdirinya daripada gaya masakan Cina dan Melayu. Kebanyakan hidangannya adalah pedas dan berempah.

Sehingga hari kini, kebanyak adat-adat kuno yang berasal daripada pendudukan Portugis masih diamalkan, termasuknya "Intrudu" (sejenis perayaan air yang menandakan permulaan musim Lent, iaith musim puasa bagi orang Katolik), "branyu" (sejenis tarian tradisional) dan "santa cruz" (sejenis perayaan jalan tahunan)

Selain daripada pelancongan, Melaka juga menjadi pusat pengeluaran barangan tempatan daripada makanan dan barangan konsumer kepada barangan komponen-komponen senjata dan automotif berteknologi tinggi, elektronik serta komponen-komponen komputer. Terdapatnya sekurang-kurang 23 kawasan perindustrian yang merangkumi lebih kurang 500 kilang Amerika Syarikat, Jerman, Jepun, Taiwan dan Singapura.

Perkhidmatan perubatan swasta di Melaka semakin dicari oleh pesakit-pesakit sejauh Indonesia dan Singapura. Hospital Straits, Hospital Putra (dulu dikenali sabagai Hospital Southern), Hospital Melaka dan Pusat Perubatan Pakar Pantai merupakan pusat perubatan swasta yang amat popular. Mereka menyediakan perkhidmatan perubatan yang setaraf dengan kebanyakan negara maju yang lain. Kerajaan Negeri Melaka ialah pemegang saham utama Hospital Putra.

Tarikan bersejarah utama

Destinasi pelancongan terutama ialah:

Kota A Famosa: Dibina oleh pihak Portugis pada tahun 1511 sebagai kubu pertahanan, ia telah mengalami kerosakkan struktur yang agak teruk semasa pencerobohan Belanda. Pihak British telah bercadang untuk memusnahkannya tetapi campurtangan Sir Stamford Raffles pada tahun 1808 telah menyelamatkan apa yang tertinggal sebagai A' Famosa pada hari ini.
Kota St. John: Dibina semula oleh pihak Belanda semasa suku ketiga abad ke-18, kubu ini mempunyai meriam yang mengadap ke tanah besar kerana pada masa itu, serangan ke atas Melaka datang terutamanya dari tanah besar dan bukan dari arah laut.
Gereja St. Peter: Dibina pada tahun 1710 semasa pemerintahan Belanda di Melaka, ia merupakan gereja Katolik tertua di Malaysia. Dinding depan dan perhiasannya adalah penggabungan seni rekabentuk timur dan barat. Locengnya di bawa khas dari Goa pada tahun 1608.


Gereja St. Paul: Dibina pada tahun 1521 oleh Kapten Portugis yang bernama Duarte Coelho, gereja ini yang dinamakan "Our Lady of The Hill" kemudiannya ditukar oleh pihak Belanda kepada tempat persemadian bangsawan dan di namakan "Gereja St. Paul". St. Francis Xavier telah dipelihara di dalam perkuburan terbuka gereja ini pada tahun 1553 sebelum dibawa dengan kapal ke Goa, India.
Gereja Christ: Dibina pada tahun 1753, struktur gereja ini melambangkan seni rekabentuk Belanda yang tulin. Bangunan ini mengandungi bangku gereja yang dibuat dengan tangan, siling cahaya matahari yang dibina tanpa sambungan, kitab Injil tembaga, batu nisan yang ditulis dalam bahasa Armenia dan lukisan "Last Supper".
Gereja St. Francis Xavier: Dibina pada tahun 1849 oleh Paderi Farve, seorang rakyat Perancis, menara gereja ini dibina khas bagi memperingati St. Francis Xavier. Dikenali sebagai "Mubaligh Sulung di Timur" (Apostle of the East), St. Francis Xavier dikenang dengan kerja-kerja dakwah menyebarkan agama Katolik di Asia Tenggara pada abad ke-16.
Bangunan Stadthuys: Dibina pada tahun 1650 sebagai penempatan rasmi Gabenor Belanda dan Timbalan Gabenor, struktur bangunan ini melambangkan seni rekabentuk Belanda. Ia kini menjadi "Muzium Sejarah dan Etnografi". Paparan harian muzium ini ialah pakaian pengantin tradisional dan artifak dari zaman kegemilangan Melaka.
Jalan Hang Jebat (Jonker Street): Terkenal untuk barangan antiknya.
Dalam usaha menambahkan daya tarikan, kerajaan negeri telah menubuhkan pelbagai muzium sebagai gedung koleksi peradaban.

Tarikan lain:

Menara Taming Sari: Menara pandang setinggi 110 meter.

Wednesday 30 September 2009

Pahang




Pahang (Jawi: ڨهڠ) adalah negeri yang terbesar di Semenanjung Malaysia. Terletak di lembangan Sungai Pahang yang amat luas, ia bersempadan dengan (lihat peta):

Kelantan di utara;
Perak, Selangor serta Negeri Sembilan di barat;
Johor di selatan; dan
Terengganu dan Laut China Selatan di timur.
"Darul Makmur", nama gelaran bahasa Arabnya, bermaksud "tempat perlindungan yang tenang".

Negeri Pahang yang berkeluasan 35 ribu kilometer persegi merupakan negeri terbesar di Semenanjung Malaysia. Kemasyhuran dan kehebatannya pada zaman dahulu menjadi rebutan kerajaan yang ada di sekelilingnya.

Pada masa ini Pahang ialah negeri Semenanjung dengan 11 daerah iaitu Kuantan, Pekan, Rompin, Maran, Temerloh, Jerantut, Bentong, Raub, Lipis, Cameron Highlands dan Bera. Penduduknya pula terdiri dari pelbagai kaum dan bangsa. Bandar utama di negeri Pahang selain Kuantan termasuklah Tanah Rata, Kuala Lipis, Kuala Rompin, dan Bukit Fraser.

Pahang Darul Makmur di sebelah utara dan baratnya dilingkungi oleh banjaran gunung dan di sebelah timurnya terbentang Laut China Selatan. Pahang merupakan pengeluar beras, pengeksport bijih timah dan berbagai-bagai hasil hutan seperti kayu kapur, gaharu, dan kapur barus.

Pahang terdiri daripada 11 daerah:

1. Bentong
2. Bera
3. Cameron Highlands
4. Jerantut
5. Kuantan
6. Lipis
7. Maran
8. Pekan
9. Raub
10. Rompin
11. Temerloh
Ibu negeri Pahang ialah Kuantan dan Pekan ialah Bandar Di-Raja. Bandar utama yang lain termasuk Kuala Lipis, Tanah Rata, Kuala Rompin dan Temerloh. Genting Highlands, Cameron Highlands dan Bukit Fraser merupakan tempat peranginan bukitnya.

Geografi fizikalnya dibahagikan kepada tiga bahagian:

tanah tinggi
hutan hujan
kawasan pinggir laut.

Tanah tinggi

Semenanjung Malaysia merentangi telerang kuarza yang kaya dan yang dikaitkan dengan banjaran gunung di tengah. Hutan hujan meliputi kebanyakan tanah tinggi, tetapi cenderung bersifat lebih nipis dengan lebih pokok daun luruh. Paku-pakis biasa ditemui disebabkan kelembapan yang tinggi dan kabut yang meresap di kawasan ini.

Terdapat banyak ladang teh di kawasan Cameron Highlands yang terletaknya di barat. Kawasan ini adalah tertinggi di tanah besar, dan iklimnya cukup serdehana untuk mempunyai variasi suhu yang berlainan disepanjang tahun. Kawasan ini juga dikenali sebagai pembekal utama bagi kekacang dan sayur-sayuran kepada kedua-dua negara Malaysia dan Singapura.

Genting Highlands juga dikenali sebagai padang permainan Malaysia. Ia mengandungi kasino tunggal di Malaysia, taman tema, dan banyak hotel. Diletaknya 40 minit daripada Kuala Lumpur melalui lebuh raya, Genting Highlands dimajukan oleh Lim Goh Tong yang telah membayangkan sebuah destinasi cuti tepi bukit untuk sesiapa yang hendak merehatkan diri daripada kesibukan bandar raya. Sempadan Genting Highlands merentangi kedua-dua negeri Pahang dan Selangor.

Bukit Fraser pernah diguna oleh British sebagai tempat cuti sewaktu musim panas. Oleh sebab jalan ke Bukit Fraser cuma mempunyai satu lorong, lalu lintas dihadkan kepada satu arah pada waktu yang tertentu. Kini, Bukit Fraser merupakan sebuah kampung kecil dan destinasi cuti dengan bangunan-bangunan yang bersenibentuk British.

Gua
Terdapat dua buah gua menarik sebagai destinasi pelancongan iaitu:

Gua Kota Gelanggi
Gua Gunung Senyum

Hutan hujan
Taman Negara, iaitu taman yang terbesar di Malaysia, terletaknya di selatan negeri Pahang. Ia mengandungi banyak binatang terancam ataupun binatang yang jarang dijumpai seperti cipan, kancil, harimau dan harimau bintang.

Hutan hujan merangkumi dua pertiga kawasan negeri ini, dan Gunung Tahan yang merupakan titik tertinggi di Semenanjung Malaysia terletak di Taman Negara. Oleh sebab ia terletak berdekatan khatulistiwa, hutan hujan di Malaysia adalah yang tertua di dunia: lebih kurang 130 juta tahun.

Tasik
Dua buah tasik yang termasyhur di Malaysia terletak di Pahang, iaitu:

Tasik Bera
Tasik Cini.
Tasik Bera merupakan sebidang tapak Ramsar yang mustahak kerana persekitaran gambut air tawarnya yang mengandungi pelbagai flora dan fauna. ("Ramsar" bermaksud "Senarai Tanah Lembap Ramsar" yang dipersetujui melalui "Konvensyen Tanah Lembap" yang diadakan di Ramsar, Iran pada tahun 1971. Terdapatnya 147 ahli konvensyen dengan 1524 tapak tanah lembap yang berjumlah 129.2 juta hektar dalam senarai Ramsar.) Orang asli Semelai tinggal di kawasan ini dan meneruskan cara kehidupan tradisionalnya melalui pemburuan, penangkapan ikan dan penggunaan sumber persekitaran semula jadi.

Tasik Cini telah dikaitkan dengan sebuah legenda mengenai seekor naga yang dipercayai tinggal di tasik ini. Juga terdapat sebutan bahawa sebuah bandar raya terhilang di dalam tasik. Tasik Cini adalah masyhur bagi bunga teratainya yang berkembangan, dan baru-baru ini telah menjadi kontroversi kerana salah pengurusan pemajuan pelancongan yang menyebabkan kematian pokok-pokok dan pencemaran air

Air Terjun
Antara air terjun yang termasyhur di Malaysia terletak di Negeri Pahang, iaitu:

Air Terjun Sg. Pandan, Kuantan
Air Terjun Teladas, Maran.
Air Terjun Pelangi, Sg. Lembing
Air Terjun Chamang, Bentong
Air Terjun Berkelah, Maran
Air Terjun Lata Jarum, Raub
Air Terjun Pulau Chekas, Raub

Kawasan pinggir laut

Negeri yang bergunung-ganang ini mendatar ke arah pinggir laut, dan di sini terletaknya Kuantan, ibu negeri Pahang. Terdapatnya banyak pulau di luar pesisir, termasuknya Pulau Tioman dengan terumbu karangnya. Terdapatnya juga pantai indah yang terbentang dari Kuantan ke arah Terengganu.

Industri perikanan tradisional masih terdapat di pantai. Keropok ikan digemari orang tempatan dan industri tradisional merangkumi pemprosesan ikan kering dan makanan laut serta keropok lekor yang termashyur

Ekonomi
Industri dan eksport utama Pahang tertumpu kepada pengeluaran kayu-kayan tropika disebabkan adanya hutan yang luas. Walaubagaimanapun, kemerosotan pokok-pokok matang yang diakibatkan oleh penebangan intensif telah menyebabkan keperlahanan dan pengamalan perhutanan boleh kekal.

Produk perikanan juga merupakan sumber pendapatan yang utama, khususnya bagi komuniti-komuniti di garis pinggir laut negeri yang panjang. Ikan kering dan ikan masin merupakan keistimewaan di sini.

Raub di bahagian tengah Pahang adalah operasi perlombongan emas tunggal yang menguntungkan tetapi rizabnya telah habis dan lombong-lombongnya telah ditutup. Baru-baru ini, teknologi baru telah menyebabkan pengekstrakan menguntungkan semula dan operasi telah bermula semula.

Sungai Lembing pada zaman kegemilangan merupakan sebuah pusat besar bagi perlombongan syaf timah.

Pelombong menggali terowong bawah tanah untuk mendapat bijih timah dan meleburkannya menjadi jongkong. Sekarang, timah tidak lagi dilombong, dan kebanyakan lombong terbanjir. Sungai Lembing merupakan sebuah bandar yang hampir luput dengan prospek yang agak sedikit kecuali pelancongan berdasarkan sejarah perlombongannya.

Kebanyakan industrinya tertumpu kepada produk berasaskan kayu serta pemprosesan petrokimia. Pelabuhan Kuantan adalah salah satu daripada pelabuhan di pantai timur yang paling sibuk dan jaringan pengangkutannya memudahkan penghantaran barangan yang pantas.

Pelancongan masih merupakan sumber pendapatannya yang terbesar dengan sumber semula jadinya yang besar untuk menarik pelawat ke hutan Taman Negara, Pulau Tioman dan Genting Highlands.

Sejarah

Sejarah Negeri Pahang bermula sebelum didirikan kerajaan Melayu Melaka, wilayah bahagian selatan Semenanjung Tanah Melayu semuanya termasuk dalam kawasan kerajaan Pahang. Orang Jawa Majapahit zaman dahulu menyebut Semenanjung Tanah Melayu sebagai Pahang sahaja. Pada awal kurun Masihi ke 16, pada permulaan terdirinya kerajaan Melayu Johor, sempadan Negeri Pahang Darul Makmur; di sebelahnya sampai ke Sedili Besar dan di utara sampai ke Terengganu; sempadan ke baratnya pula sampai ke Rembau, Selangor dan Perak. Negeri Pahang Darul Makmur sekarang ini di sebelah utara dan baratnya dilingkungi oleh banjaran gunung dan di sebelah timurnya terbentang Laut China Selatan.

Negeri Pahang Darul Makmur ialah sebuah negeri yang terbesar di Semenanjung Tanah Melayu dengan keluasan 35,515 kilometer persegi. Kemasyhuran dan kehebatan namanya pada masa dahulu menjadi rebutan kerajaan yang ada di sekelilingnya. Pada masa ini Pahang adalah negeri di Semenanjung dengan terbahagi kepada sebelas daerah iaitu Kuantan, Pekan, Rompin, Maran, Temerloh, Jerantut, Bentong, Raub, Lipis, Cameron Highlands dan Bera. Manakala penduduknya pula terdiri dari berbagai kaum dan bangsa.

Asal Usul Nama Negeri Pahang

Pada zaman dahulu Negeri Pahang Darul Makmur mempunyai berbagai nama. Pengarang China menyebutnya sebagai Pang-Hang, Peng-Heng, Pang-Heng, Pong -Fong, Phe-Hang,Pang-Kang dan lain-lain. Pada tahun 1225 Chao Ju-Kua telah mengarang sebuah buku bernama Chu-Fan-Chi, beliau menyatakan di antara beberapa buah negeri yang ditakluki di bawah kuasa San-fo-chi ialah negeri yang bernama Peng-keng. Peng-keng itu ialah Negeri Pahang Darul Makmur.

Orang Arab dan orang Eropah zaman dahulu menyebut Pam, Pan, Phang, Paam, Pao, Paon, Phaan, Paham, Fanhan, Phang dan Pahagh. G.R. Tibbetts, seorang ahli sejarah yang mengulas kisah yang ditulis dengan huruf Arab dalam buku karangan Mas'udi itu pada pendapat Tibbetts ialah Pahang. Dia lebih setuju menyebut perkataan Fanjab itu sebagai Fanhan, Panghang atau Panhang. Semuanya itu dimaksudkan Pahang. Ada setengah pendapat menyatakan Pahang berasal dari bahasa Siam asli ertinya timah. Orang Siam asli yang dulunya mendiami negeri ini dengan membuka lombong bijih timah terutama di Sungai Tembeling.

Mengikut cerita orang tua-tua Melayu pula, pada zaman dahulu di Sungai Pahang iaitu bertentangan dengan Kampung Kembahang, ada sebatang pokok kayu mahang yang besar rebah melintang menyeberangi sungai itu.Dari pokok mahang itu kononnya berasal nama Negeri Pahang Darul Makmur itu.Gelaran tua bagi Negeri Pahang Darul Makmur itu ialah Inderapura, disebut Pahang Inderapura. Bandar Dirajanya terkenal hingga sekarang dan ibu negeri pada zaman dahulu iaitu Pekan.Sebelum ditakluk oleh kerajaan Melayu Melaka ia dikenali sebagai Pura.

Pahang Zaman Pra-Sejarah
Penyelidikan telah dibuat oleh ahli kaji purba secara ilmiah di beberapa tempat di Negeri Pahang Darul Makmur iaitu di gua-gua batu, di gunung-gunung, di tempat berhampiran dengan sungai, di tanah perlombongan lama dan juga di tempat lapang. Jumpaan benda purba terdiri daripada batu, tembikar, gangsa dan besi kuno buatan orang zaman purbakala.

Tempat tersebut ialah di gua batu kapur seperti Kota Tongkat, Kota Gelanggi dekat Jerantut; Gua Kecil, Raub; Gunung Senyum; Bukit Chintamanis, Karak; Sungai Lembing, Tersang, Kuala Lipis Sungai Selinsing Sungai Tui, Nyong, Teluk Lubuk Puai, Batu Pasir Garam, Bukit Jong dan Kg. Padi di persimpangan Sungai Tembeling dan beberapa tempat lagi di sepanjang Sungai Pahang. Antara benda purba yang dijumpai tertanam dalam tanah di negeri ini ialah barang dan perkakas yang dibuat daripada batu oleh orang zaman batu pertengahan (mesolithic). Barang-barang tersebut ialah kapak genggam, beliung dan pahat.

Ahli kaji purba menyatakan manusia zaman batu pertengahan yang mendiami Negeri Pahang Darul Makmur tinggal di gua batu dan gua-gua di gunung-ganang negeri ini dan mereka adalah kumpulan yang mula-mula datang ke Semenanjung Tanah Melayu dan Tanah Besar Benua Asia. Rombongan Melayu Proto mendiami Semenanjung termasuk Pahang dan pulau-pulau Nusantara ialah dalam lingkungan 3,000 atau 2,000 sebelum Masehi.

Dari aspek pertanian, barang dan perkakas buatan orang zaman batu akhir yang telah dijumpai dalam tanah ialah benda yang berupa mata lembing, pisau, sabit, cangkul, tenggala dan lain-lain perkakas ganjil yang dibuat daripada besi zaman dahulu. Tempat yang dijumpai terutamanya di tepi Sungai Lembing, Teluk Lubuk Puai Jong tepi Sungai Lipis. Di Kampung Batu Pasir Garam di tepi Sungai Tembeling, dijumpai pecahan muka gendang zaman dahulu yang diperbuat daripada gangsa. Gendang gangsa ini digunakan oleh orang yang memakai kebudayaan gangsa.Dr. Linehan berpendapat gendang gangsa ini ditukangi di Indo-China dan dibawa dari negeri Funan ke Ulu Tembeling antara kurun Masihi ketiga iaitu dibawa bersama-sama dengan perkakas dari besi kuno (tulang mawas).

Mengikut ahli kaji manusia dan ahli sejarah, orang Melayu pesisir (DeutroMalays) ialah nenek moyang orang Melayu yang tinggal di daerah pantai Semenanjung Tanah Melayu. Pendek kata pada zaman dahulu kala selain daripada orang asli iaitu orang Semang dan puaknya di Negeri Pahang Darul Makmur telah didiami oleh manusia yang disebut dalam ilmu sejarah sebagai manusia zaman batu pertengahan, zaman batu akhir atau permulaan zaman gangsa lagi.

Pemerintahan Negeri
Menurut riwayat tua pemerintahan negeri ini dijalankan dengan cara pemerintahan beraja dari semenjak zaman dahulu kala membawa ke masa sekarang. Keturunan raja Melaka itulah yang lama sekali berkuasa di Negeri Pahang Darul Makmur dan pemerintahan daripada waktu itu memakai gelaran Sultan dan keturunan ini memerintah lebih dari 200 tahun semenjak daripada raja bernama Sultan Mahmud Shah yang masyhur di dalam Sejarah Marhum Mangkat Di julang dalam tahun 1699.

Setelah itu pemerintah Pahang pindah kepada keturunan Bendahara Tuan Habib Abdul Majid, Bendahara Padang Saujana Johor. Dari titisan keluarga dan zuriat ini juga telah menjadikan Negeri Pahang Darul Makmur terputus dari takluk Riau dan telah menubuhkan satu pemerintahan merdeka, berkuasa penuh sebelum ini, menjalinkan persahabatan dengan Sultan hinggalah sekarang in

Pusat Pentadbiran Negeri Secara Ringkas
Inggeris telah meluaskan kuasanya ke Negeri Pahang Darul Makmur, Residen pertama iaitu J.P.Rodger telah dilantik dalam bulan Oktober 1888. Perkara utama yang diberikan perhatian oleh Inggeris ialah menentukan tempat letaknya pusat pentadbiran Negeri Pahang Darul Makmur. Tiga tahun kemudian iaitu dalam tahun 1891 pusat pentadbiran ini dipindahkan dari Pekan ke Lipis. Rancangan ini hanya untuk buat sementara sahaja tetapi rancangan yang dikatakan sementara itu telah memakan masa lebih dari 64 tahun kerana pusat pentadbiran Negeri Pahang Darul Makmur hanyalah dipindahkan ke Kuantan pada tahun 1955.

Cadangan untuk pemindahan pusat pentadbiran ini telah dibuat semenjak tahun 1901 lagi, tetapi keputusan muktamad untuk memindahkan pusat pentadbiran Negeri Pahang dari Kuala Lipis ke Kuantan diambil pada 2 Mac 1953; Bagi memilih tempat yang bersesuaian bagi pusat pentadbiran Negeri Pahang, pihak Kerajaan Negeri telah memusatkan pandangannya kepada dua kawasan iaitu Temerloh / Mentakab dan Kuantan. Tetapi disebabkan bentuk mukabumi Temerloh / Mentakab yang tidak rata dan memerlukan perbelanjaan yang besar untuk pembangunannya maka Kuantan telah diputuskan untuk dijadikan ibu negeri Pahang Darul Makmur.

Pusat pentadbiran Negeri Pahang Darul Makmur telah dipindahkan ke Kuantan pada hari Sabtu 27 Ogos 1955 dengan dirasmikan oleh KDYMM Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al Muadzam Shah Ibni Al Marhum Al Sultan Abdullah Al Mu'tasim Billah, DK., SIMP., DK., SIMP., DK(Brunei)., DK(Johor)., DK(Perak)., SPDK(Sabah)., GCMG. Manakala pada 28 Februari 1970, bangunan pentadbiran pusat berpindah ke Wisma Sri Pahang.

Pahang juga mempunyai ramai pahlawan dan pendekar yang berjuang menentang penjajah di waktu sebelum kemerdekaan. Antara yang terkenal ialah Datuk Bahaman, Mat Kilau, Tok Gajah, dan Pawang Nong. Pahang juga merupakan negeri melayu sejati seperti Kelantan, Kedah dan Terengganu.

Sistem Perhubungan Awal Di Negeri Pahang
Pada zaman dahulu di Negeri Pahang Darul Makmur sungai-sungai seperti Sungai Pahang, Sungai Kuantan, Sungai Bebar, Sungai Rompin, Sungai Endau, Sungai Tembeling, Sungai Jelai, Sungai Semantan dan cawangan-cawangan sungai itu serta beberapa buah sungai kecil yang lain telah digunakan sebagai jalan perhubungan. Begitu juga perhubungan antara Negeri Pahang Darul Makmur dan negeri-negeri lain di sekitarnya. Orang yang hendak pergi ke Kelantan ikut Sungai Tanum anak Sungai Jelai atau ikut Sungai Sat dan Sungai Sepia, kedua-duanya anak Sungai Tembeling. Sungai Sepia itu boleh juga digunakan jika hendak pergi ke Negeri Terengganu. Perhubungan dengan Negeri Perak dihubungi oleh jalan-jalan yang lebih sukar iaitu ikut Sungai Bertam dan Sungai Lipis. Kedua-duanya adalah anak Sungai Jelai. Perhubungan dengan Negeri Selangor pula melalui Sungai Semantan dan cawangannya.

Jalan yang utama digunakan oleh orang pada zaman dahulu ialah jalan yang menghubungkan Negeri Pahang Darul Makmur dengan daerah-daerah di Hulu Muar dan Negeri Melaka. Jalan ini dari Negeri Pahang Darul Makmur ikut (mudik) Sungai Pahang; kemudian masuk ke sebuah anak Sungai Pahang yang bernama Sungai Bera, selepas itu ikut pula sebuah anak Sungai Bera bernama Sungai Serting. Pada suatu tempat di hulu Sungai Serting, naik ke darat sejauh tiga ratus ela, masuk pula Sungai Jempol, menghilir Sungai Jempol dan masuk ke Sungai Muar. Dari Muar bolehlah pergi ke Melaka dan tempat-tempat lain di barat Semenanjung Malaysia. Jalan inilah yang telah diikuti oleh Sultan Mahmud Shah Melaka dan putera baginda Sultan Ahmad setelah ia dikalahkan oleh orang-orang Portugis di Pagoh dan Bentayan (Kuala Muar) pada akhir tahun 1511. Jalan ini juga yang digunakan oleh Sultan Ali (putera Sultan Husain Shah Singapura) dari Kampung Umbai, Melaka yang pergi berjumpa Bendahara Wan Ahmad di Pahang (Pekan) pada tahun 1863.

Manuel Godinho de Erédia, seorang pengarang dan pegawai Portugis di Melaka (tahun 1613) menyatakan: "Dari Melaka jalan menempuh Penarikan itu boleh sampai ke Pahang (dan sebaliknya), hanya enam hari perjalanan".

Perahu jalak telah digunakan bukan sahaja membawa kargo dan barang-barang tetapi juga untuk membawa penumpang. Jalak boleh memuatkan dua belas penumpang dan lebih kurang 15 tan kargo. Dari Kuantan ke Kuala Pahang sewa yang dikenakan untuk satu perjalanan ialah $25.00. Syarikat Lombong Bijih Timah Sungai Lembing (PCCL) telah memulakan perkhidmatan harian antara bandar Kuantan dan Pasir Kemudi. Dari Pasir Kemudi penumpang dan kargo dibawa dengan keretapi ke Sungai Lembing.

Sebelum siap jalanraya dari Jerantut ke Kuantan, pegawai di Ulu Pahang yang hendak ke Kuantan akan menggunakan perahu atau rakit menghilir Sungai Pahang atau untuk pergi ke Pekan.

Setelah beberapa tahun kerajaan Inggeris mentadbir Pahang, usaha membina jalanraya pun dimulakan. Pada penghujung tahun 1910 jalan sepanjang 18 batu dari Kuantan menuju Ulu Pahang siap dibuka kepada orang ramai. Feri mula dibuka dan digunakan oleh orang ramai pada 5 September 1910 di Kuantan. Dalam tahun 1918 jalan raya Jerantut-Kuantan dapat dihubung terus ke Kuala Lipis. Hujung tahun 1933, jalan raya dari Pekan ke Kuantan dibuka dengan rasminya. Kemudahan perhubungan negeri ini terus maju dengan banyaknya pembinaan jalan raya, jambatan dan lapangan terbang serta pelabuhan. Kesemuanya ini dapat memendek dan memudahkan perjalanan serta perhubungan antara satu tempat dengan satu tempat di Negeri Pahang Darul Makmur di Malaysia dan negara-negara jiran seperti Singapura di sebelah selatan dan Thailand di sebelah utara.

Kebudayaan
Suatu ketika dahulu, persembahan Wayang Kulit Kelantan (atau Wayang Kulit Siam) pernah bertapak di negeri Pahang. Walau bagaimanapun, teater tradisional ini telah lama lenyap dari bumi Pahang.


Sultan Pahang
Sultan Ahmad Al Muadzam Shah
9 Mei Jun 1917 Sultan Mahmud
19 Jun Jun 1932 Sultan Abdullah Al Mu'tassim Billah
22 Jun 1932-7 Mei 1974 Sultan Sir Abu Bakar Ri'ayatuddin Al Muadzam Shah
7 Mei 1974-Sekarang Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta'in Billah

Kelantan



Kelantan Darulnaim (Jawi: كلنتن دار النعيم, Loghat Kelantan: Klatè) atau nama pendeknya Kelantan merupakan sebuah negeri daripada 14 buah negeri di Malaysia yang kaya dengan sumber asli. Mempunyai keluasan lebih kurang 14,922 km², terletak di timur laut Semenanjung Malaysia, berhadapan dengan Laut China Selatan, dan bersempadan dengan Thailand (lihat peta). Kelantan ialah sebuah negeri agraria (pertanian) yang mempunyai banyak kawasan tanaman padi dan perkampungan nelayan.

Berdasarkan pada Bancian Tahun 2000, Kelantan mempunyai seramai 1,313,014 orang penduduk. Kaum Melayu merupakan kaum yang terbesar dengan 95%, diikuti dengan kaum Cina 3.8%, kaum India 0.3% dan lain-lain kaum 0.9%. Berdasarkan bancian tersebut, 95% beragama Islam, diikuti dengan agama Buddha 4.4%, Kristian 0.2%, Hindu 0.2% dan lain-lain agama 0.2%.

Geografi Kelantan

Kelantan terletak di timur laut semenanjung Malaysia, berhadapan dengan Laut China Selatan dan bersempadan dengan Thailand. Kelantan kaya dengan sumber asli tempatan dan berkeluasan 14,922 kilometer persegi. Kelantan agak terpisah dari negeri-negeri lain akibat Banjaran Titiwangsa.

Negeri ini terbahagi kepada 10 jajahan iaitu, Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Pasir Puteh, Bachok, Kuala Krai, Machang, Tanah Merah, Jeli dan Gua Musang. Bandar utama di negeri Kelantan termasuk Kota Bharu (ibu negeri), Pasir Puteh, Pasir Mas, Kuala Krai, Jeli, Rantau Panjang dan Pangkalan Chepa.

Negeri Kelantan menikmati iklim tropika yang baik di mana hujan lebat turun berselang-seli dan berterusan pada November, Disember dan Januari (musim tengkujuh). Suhu setiap hari dianggarkan dari 21° C hingga 32° C.

Kelantan Darul Naim terdiri daripada 10 jajahan iaitu :-

1. Kota Bharu
2. Pasir Mas
3. Tumpat

4. Pasir Puteh
5. Bachok
6. Kuala Krai

7. Machang
8. Tanah Merah
9. Jeli
10.Gua Musang
Bandar-bandar utama di negeri Kelantan termasuklah Kota Bharu (ibu negeri), Pasir Puteh, Pasir Mas,Tanah Merah, Kuala Krai, Jeli, Rantau Panjang dan Pangkalan Chepa.

Sejarah

Nama "Kelantan" dikatakan pencemaran daripada perkataan "gelam hutam", iaitu nama Melayu bagi pokok Melaleuca leucadendron. Ada juga yang mengatakan bahawa namanya datang daripada perkataan "kilatan" atau "kolam tanah". Selain itu Negeri Kelantan juga dikenali dengan nama Tanah Serendah Sekebun Bunga, Tanjung Pura, Negeri Cik Siti Wan Kembang dan serambi mekah pada masa dahulu.

Sejarah awal Kelantan tidak begitu jelas, tetapi temuan arkeologi mempertunjukkan kesan petempatan manusia di zaman prasejarah. Kelantan awal mempunyai perhubungan dengan Empayar Funan, Empayar Khmer, Srivijaya dan Siam. Kira-kira 1411, Raja Kumar, raja Kelantan, membebaskan negeri itu dari Siam. Beliau memakai gelaran Sultan Iskandar Shah apabila memeluk Islam. Kelantan kemudian menjadi sebuah pusat perdagangan yang penting pad akhir abad ke-15.

Pada 1499, Kelantan menjadi negeri vasal Kesultanan Melaka. Dengan kejatuhan Melaka pada 1511, Kelantan dibahagikan dan diperintah oleh ketua-ketua kecil. Dengan ancaman oleh Siam pada 1603, kebanyakan ketua kecil Kelantan bernaung di bawah Persekutuan Pattani Besar. Kerajaan pusat di Pattani membahagikan Kelantan kepada 4 wilayah iaitu Kelantan Timur, Kelantan Barat, Legeh dan Ulu Kelantan. Kira-kira 1760, seorang putera raja Kelantan Barat berjaya dalam penyatuan wilayah Kelantan sekarang. Tidak lama kemudian, pada 1764, Long Yunus iaitu putera raja Kelantan Timur, anak Long Sulaiman berjaya merampas takhta kerajaan dan mengisytiharkan diri sebagai Raja Kelantan. Walaubagaimanapun, dengan kemangkatannya, Kelantan dipengaruhi oleh Terengganu.

Pada 1800, Raja Muhammad mengisytiharkan diri sebagai sultan pertama Kelantan. Pada 1812, baginda melepaskan diri daripada pengaruh Terengganu dan menjadi negara ufti Siam yang berasingan. Pada 1820-an, Kelantan merupakan salah satu daripada negeri yang terbanyak penduduk serta termakmur di Semenanjung Tanah Melayu kerana berjaya mengelakkan perang dan pertikaian yang menimpa negeri-negeri di selatan dan barat. Siam terus memainkan peranan yang mustahak di Kelantan pada seluruh abad ke-19.

Di bawah syarat Perjanjian British-Siam pada 1909, Siam menyerahkan tuntutan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis kepada Britain, dan Kelantan menjadi salah satu daripada Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu di bawah Residen British.

Kelantan merupakan tempat pertama di Malaya yang ditakluk oleh Jepun yang menyerangnya pada 8 Disember 1941. Semasa pendudukan Jepun, Kelantan sekali lagi dikawal oleh Siam, tetapi selepas kekalahan Jepun pada Ogos 1945, Kelantan kembali kepada pemerintahan British.

Kelantan menjadi sebahagian Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 dan bersama-sama dengan negeri lain, mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Pada 16 September 1963, Kelantan menjadi salah satu daripada negeri-negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia.


Budaya

Kelantan merupakan negeri yang berjiran dengan wilayah-wilayah selatan Thailand yang dikenali dahulu sebagai Negeri Patani Darul Salam. Dari segi sejarahnya, Kelantan mempunyai hubungan sejarah yang sangat akrab dengan Kesultanan Melayu Patani yang didokongi oleh Kesultanan Melayu Islam. Di mana Kesultanan Melayu Kelantan mempunyai pertalian darah dengan Kesultanan Melayu Patani dan juga Kesultanan Melayu Negeri Champa. Setelah Kesultanan Melayu Patani dikhianati oleh Siam dan British maka ia telah demonisasi oleh Thailand. Negeri Patani telah dipecahkan kepada wilayah-wilayah kecil yang terdiri dari Yala(Jala), Narathiwat(Menara), Patani dan Songkla(Senggora).

Di bawah perjanjian British-siam pada tahun 1948 demografi pemerintahan selatan Siam telah dipisahkan. Kelantan di bawah Malaysia manakala negeri-negeri Patani di bawah Thailand.

Oleh yang demikian Kelantan mempunyai budaya yang unik yang sangat berkait rapat dengan budaya Negeri Patani. Asimilasi antara budaya Melayu, Siam dan Islam menghasilkan permainan rakyat seperti Dikir Barat, Main Puteri, Mak Yong dan seumpamanya. Mak Yong dipengaruhi oleh budaya Siam (Thailand), sementara Dikir Barat pula mempunyai unsur-unsur Islam. Main Puteri pula dikatakan diresapi oleh budaya Hindu.

Kelantan juga kaya dengan makanan tradisional dan berlainan dengan makanan Melayu di negeri lain. Di antara makanan tradisional Kelantan yang berkhasiat dikenali sebagai budu.

Bahasa

Penduduk di Kelantan kebanyakan menggunakan bahasa Melayu Kelantan, bahasa ini merupakan loghat dari bahasa Melayu piawai. Bahasa ini berbeza dengan bahasa Melayu Terengganu tetapi digunakan sehingga di Besut dan Setiu, Terengganu.

Selangor



Negeri Selangor (juga dikenali sebagai Selangor Darul Ehsan) merupakan salah satu daripada tiga belas negeri yang membentuk Malaysia. Ia terletak di tengah-tengah Semenanjung Malaysia di pantai barat dan mengelilingi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.[1] Negeri ini juga bersempadan dengan Perak di utara, Pahang di timur, Negeri Sembilan di selatan dan Selat Melaka di sebelah barat.

Selangor ialah negeri dengan bilangan penduduk terbanyak di Malaysia. Selangor juga merupakan negeri termaju di Malaysia, berdasarkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan diisytiharkan sebagai negeri maju pada 27 Ogos 2005.

Etimologi

Asal nama Selangor tidak jelas, walaupun beberapa sumber mendakwa bahawa namanya telah diambil daripada perkataan "selangau", iaitu sejenis lalat besar, disebabkan oleh bilangan lalat yang ada berhampiran dengan Sungai Selangor, di bahagian barat laut negeri ini. Satu lagi teori mendakwa bahawa nama negeri ini diambil daripada frasa "Selang Ur" bermaksud "tanah selat" ("ur" membawa maksud "tanah" dalam bahasa Tamil). [2], [3]

Sejarah

Pada abad ke-15, Selangor terletak di bawah pemerintahan Melaka. Selepas kejatuhan Melaka, ia menjadi rebutan di antara penjajah Portugis, Johor, Aceh dan Siam. Selepas Belanda menewaskan Portugis di Melaka, mereka membawa masuk askar upahan Bugis dari Sulawesi. Ini menyebabkan kaum Minangkabau yang lebih dulu (100 tahun awal) datang dari Sumatra terpaksa berpindah.

Pada kurun ke-19, kemajuan ekonomi akibat perlombongan bijih timah dan penanaman pokok getah menarik ramai pendatang China. Kaum Cina ini membentuk kongsi gelap dan berpakat dengan pembesar-pembesar Selangor merebut kekayaan ini. Suasana kucar-kacir ini memberi peluang kepada British untuk memaksa Sultan Selangor menerima seorang Residen British di Klang pada 1874 iaitu J.G Davidson. Taktik ini berkesan apabila British berjaya mengawal keadaan dan Selangor kembali makmur.

Geografi

Gombak ditadbir oleh Majlis Perbandaran Selayang
Hulu Langat terbahagi kepada dua:
Majlis Perbandaran Kajang mentadbir seluruh Kajang dan Hulu Langat
Majlis Perbandaran Ampang Jaya mentadbir seluruh Ampang dan Ulu Klang
Hulu Selangor ditadbir oleh Majlis Daerah Hulu Selangor
Klang ditabir oleh Majlis Perbandaran Klang
Kuala Langat ditadbir oleh Majlis Daerah Kuala Langat
Kuala Selangor ditadbir oleh Majlis Daerah Kuala Selangor
Petaling terbahagi kepada tiga:
Majlis Bandaraya Petaling Jaya mentadbir bandaraya Petaling Jaya
Majlis Perbandaran Subang Jaya mentadbir seluruh Subang Jaya, USJ, Puchong, Serdang dan Seri Kembangan
Majlis Bandaraya Shah Alam mentadbir bandaraya Shah Alam dan Sungai Buloh
Sabak Bernam ditadbir oleh Majlis Daerah Sabak Bernam
Sepang ditadbir oleh Majlis Perbandaran Sepang
Bandar-bandar utama di Selangor adalah Shah Alam (ibu negeri), Klang, Kajang, Banting, Petaling Jaya, Subang Jaya, Puchong, Rawang dan Semenyih.

Budaya di Selangor

Disebabkan Selangor pada satu masa dahulu merupakan pusat pemerintahan Tanah Melayu, budaya di Selangor dipengaruhi oleh pelbagai kaum, seperti oleh orang Jawa, Bugis, Johor, Melaka, Minangkabau dan sebagainya.





Terrengganu



Sejarah Terengganu

Sejarah Terengganu yang awal adalah tidak jelas. Namun begitu terdapat catatan mengenai Terengganu oleh saudagar Cina, Chao Ju Kua pada tahun 1225 yang menyebut sebagai jajahan takluk Palembang.

"Negarakartagama", tulisan Prapanca dari Jawa pada tahun 1365, menyatakan bahawa Terengganu, Paka dan Dungun di bawah taklukan Majapahit. Berdasarkan bukti arkeologi seperti kapak batu dan tembikar yang dijumpai di Gunung Bewah, terdapat manusia tinggal di situ sejak 4000 SM. Pada Batu Bersurat Terengganu terdapat pula catatan nama Raja Mandalika. Seterusnya dalam sejarah Terengganu, terdapat pemerintahan bernama Megat Panji Alam dan juga Tun Telanai.

Terengganu kemudiannya disebut sebagai negeri di bawah pemerintahan kerajaan Johor. Pada ketika itu, dua orang pembesar Johor, Laksamana dan Paduka Megat Seri Rama, dihantar memerintah Terengganu. Seterusnya, Bendahara Hasan pula dihantar mentadbir Terengganu. Berikutnya, Terengganu ditadbir oleh Tun Zain Indera, kemudiannya, oleh anak Tun Zain Indera, Tun Yuan, Tun Sulaiman dan Tun Ismail; Tun Sulaiman sebagai sultan di Pantai Layang ( Balik Bukit ), Tun Yuan sebagai Bendahara dan Tun Ismail sebagai Menteri Tersat.

Pengasas Kesultanan Terengganu sekarang ialah Sultan Zainal Abidin I. Baginda yang juga dikenali dengan panggilan "Bendahara Padang Saujana" ialah putera Tun Habib Abdul Majid. Mengikut buku Tuhfat al-Nafis, karangan Raja Haji, Tun Zainal Abidin ditabalkan sebagai Sultan Terengganu oleh Daeng Menampuk atau Raja Tua di atas pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Sumber yang lain pula dinyatakan Tun Zainal Abidin ditabalkan di atas tahta Kerajaan Negeri Terengganu oleh Phra Chau Yang, Raja Pattani.

Mengikut hikayat Johor serta Pahang, Tun Zainal Abidin datang ke Pattani setelah Paduka Raja Laksamana Wan Abdul Rahman dibunuh di Terengganu disekitar 1688. Ketika berada di Pattani, Tun Zainal Abidin dijadikan anak angkat oleh Raja Pattani, Phra Nang Chau Yang.

Tun Zainal Abidin menjadi Sultan Terengganu pada tahun 1708. Ini berdasarkan duit kupang emas Terengganu yang mencatatkan nama Sultan Zainal Abidin dan tahun 1120 hijrah (bersamaan tahun 1708). Sultan Zainal Abidin I tidak lama bersemanyam di Tanjung Baru, Kuala Berang, berpindah ke Kota Batang Mahang, ke Langgar dan ke Pulau Manis. Kemudian berpindah lagi ke Chabang Tiga, Kuala Terengganu dan akhirnya di kawasan berhampiran Bukit Keledang (kini dipanggil Kota Lama).

Sultan Zainal Abidin I digantikan oleh putera baginda, Ku Tana Mansur dengan gelaran Sultan Mansur I pada tahun 1733, ketika berusia 7 tahun. Baginda memerintah Terengganu sehingga tahun 1794. Pada tahun 1739, Sultan Mansur Shah I berkahwin dengan Raja Bulang anak Daeng Chelak, Yamtuan Muda Johor Kedua. Berikutnya, baginda berkahwin pula dengan Raja Bakul, putera Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Ketika menduduki takhta kerajaan Terengganu, Sultan Mansur I telah menghabiskan empat belas tahun (1746–1760) daripada masa pemerintahannya di Riau, terlibat dalam persaingan di antara orang Melayu dengan orang Bugis. Apabila pulang ke Terengganu pada 1760, baginda terlibat pula dalam politik Kelantan membantu Long Yunus, Putera Long Sulaiman Ibni Long Bahar, Yang DiPertuan Kelantan menduduki takhta kerajaan Kelantan pada tahun 1776.

Sultan Mansur I digantikan oleh puteranya, Sultan Zainal Abidin II (1794–1808). Pada masa pemerintahan baginda, berlaku peperangan dengan Kelantan yang dipimpin oleh Long Mahammad Ibni Long Yunus, Raja Kelantan. Terengganu dikalahkan dan seterusnya Kelantan berjaya membebaskan diri daripada naungan Terengganu. Seterusnya takhta kerajaan Terengganu diduduki oleh beberapa sultan, termasuknya Baginda Omar.

Baginda Omar pernah menduduki takhta kerajaan Terengganu pada tahun 1831 mengantikan Sultan Daud. Tetapi baginda diturunkan daripada takhta kerajaan oleh Tengku Mansur dan seterusnya sebagai Sultan Mansur II. Sultan Mansur II digantikan oleh putera baginda, Sultan Muhammad. Pada tahun 1839, Baginda Omar berjaya mengalahkan Sultan Muhammad dan seterusnya menduduki takhta kerajaan Terengganu. Ketika pemerintahan baginda, Terengganu berkembang maju.

Apabila Baginda Omar mangkat, takhta kerajaan Terengganu diduduki oleh Sultan Ahmad Shah II (1876–1881). Sultan Ahmad Shah pula digantikan oleh putera baginda, Sultan Zainal Abidin III (1881–1918). Ketika pemerintahan baginda, British beberapa kali cuba melibatkan diri dalam kerajaan Terengganu. Pada tahun 1911, Sultan Zainal Abidin III meluluskan "Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu" yang di antara lain menyatakan Sultan Yang DiPertuan Besar Terengganu memiliki kuasa kerajaan dan jajahan serta adalah ketua tertinggi kerajaan Terengganu. Seterusnya takhta kerajaan digantikan oleh Sultan Muhammad Shah II (1918–1920) dan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1920–1942).


Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhun Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu ke-16 yang memerintah negeri Terengganu sekarang.Menurut "Warta Chahaya Timor No. 38" bertarikh 29 September 1942, apabila Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah telah mangkat pada 26 September 1942, Tengku Ali, yang dirujuk sebagai putera sulung baginda telah dilantik sebagai "Pemangku Sultan Sementara" oleh pihak pentadbiran Jepun pada 29 September 1942. Seterusnya Tengku Ali telah diberikan gelaran "Sultan" pada 30 September 1942 oleh Syuckokan atau Gabenor Jepun. Walau bagaimanapun perlantikan ini dinyatakan tidak menurut "Undang-Undang Diri Bagi Negeri Terengganu" 1911.

Tengku Seri Paduka Raja, Tengku Ismail diisytiharkan sebagai Sultan Terengganu pada Ahad, 16 Disember 1945. Baginda seterusnya ditabalkan pada tahun 1949 dengan gelaran "Sultan Ismail Nasaruddin Shah". Sultan Ismail Nasaruddin dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong ke–6 dari 21 September 1965 hingga 20 September 1970. Dalam tempoh itu, Duli Yang Amat Mulia Tengku Mahmud dilantik sebagai Pemangku Raja Terengganu. Apabila Sultan Ismail Nasaruddin Shah mangkat pada tahun 1979, takhta kerajaan Terengganu digantikan oleh putera baginda, Duli Yang Teramat Mulia Yang Dipertuan Muda Tengku Mahmud. Baginda menduduki takhta kerajaan Terengganu dengan gelaran Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Sultan Mahmud mangkat pada 15 Mei 1998 di Singapura. Dengan itu, takhta kerajaan Terengganu digantikan oleh putera baginda, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Kesultanan Terengganu
1. 1708-1733: Tun Zainal Abidin
2. 1733-1794: Sultan Mansur I
3. 1794–1808: Sultan Zainal Abidin II
4. 1808–1830: Sultan Ahmad
5. 1830: Sultan Abdul Rahman
6. 1830–1831: Sultan Daud
7. 1831–1837: Sultan Mansur II
8. 1837–1839: Sultan Muhammad
9. 1839–1876: Baginda Omar
10. 1876–1881: Sultan Ahmad Shah II
11. 1881–1918: Sultan Zainal Abidin III, putera Sultan Ahmad Shah II ;
12. 1918–1920: Sultan Muhammad Shah II
13. 1920–1942: Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah
14. 1942-1945: Tengku Ali
15. 1945-1979: Sultan Ismail Nasaruddin Shah
16. 1979-1998: Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah
17. 1998-kini: Sultan Mizan Zainal Abidin

Daerah

Terengganu terbahagi kepada 7 daerah iaitu :-

1. Besut
2. Dungun
3. Kemaman
4. Kuala Terengganu
5. Marang
6. Setiu
7. Hulu Terengganu
Bandar-bandar utama di Terengganu adalah Bandar Kuala Terengganu (ibu negeri), Chukai, Kuala Besut, Rantau Abang dan Kuala Dungun

Budaya

Masyarakat Melayu di Terengganu sememangnya kaya dengan budaya dan adat. Di Terengganu, terdapat tiga jenis teater tradisional yang dikenali sebagai Teater Nur Sakti, Rodat dan Tarian Pulai. Persembahan Wayang Kulit Kelantan (atau Wayang Kulit Siam) juga boleh ditemui di beberapa tempat di Terengganu.

Perlis




Geografi

Perlis terdiri daripada enam jajahan iaitu :-

1. Arau
2. Kaki Bukit
3. Kangar
4. Kuala Perlis
5. Padang Besar
6. Simpang Empat
Bandar-bandar utama di Perlis termasuk Arau, Kangar, Kuala Perlis dan Padang Besar. Pekan-pekan kecil pula termasuk Beseri, Kuala Sanglang, Mata Ayer, Pauh dan Simpang Empat.

Asal Nama Negeri Perlis

Sejarah mengenai asal-usul nama negeri Perlis adalah kurang jelas. Terdapat banyak kisah atau andaian yang menceritakan tentang asal-usul nama Perlis. Berikut merupakan beberapa andaian atau kisah yang diketahui:

Menurut seorang tokoh sejarawan Malaysia iaitu Haji Buyong Adil, terdapat beberapa cerita yang mengisahkan kononnya nama Perlis itu berasal daripada perkataan Siam iaitu “Phrau Loi” (Maphrau Loi) yang bermaksud kelapa hanyut. Perkataan tersebut telah dipelat dan dipendekkan bunyinya oleh orang Melayu lalu menjadi ‘pereleh’ atau Perlis.
Sumber kedua menyatakan bahawa kononnya nama negeri Perlis berasal daripada perkataan ‘peroleh’ yang membawa maksud kurnia daripada kerajaan Kedah. Perkataan itu disingkatkan lalu menjadi Perlis.


Sumber yang ketiga pula menyebut negeri Perlis mendapat namanya daripada nama sebuah kubur di Bukit Mengulang iaitu kubur Tok Perlis. Kubur tersebut adalah milik seorang tokoh ulama yang terkemuka di Nusantara iaitu Tok Perlis.


Sumber yang keempat mengatakan nama negeri Perlis berasal daripada perkataan ‘perlus’. Kebanyakan tanah dalam di Perlis ialah tanah sawah. Pada musim kemarau, tanah sawah akan merekah. Sesiapa yang berjalan akan ‘terperlus’. Dari perkataan ‘perlus’ itulah, Perlis mendapat namanya.

Menurut sebuah buku yang tulis oleh Ahmad Ismail dan Yazid Mat, dipercayai bahawa nama negeri Perlis berasal daripada nama sejenis pokok yang dikenali sebagai pokok perlis. Pokok ini dahulunya tumbuh dengan begitu banyak di negeri tersebut, terutama sekali di kawasan pinggir sungai. Kini, pokok perlis ini telah pun pupus.
Meskipun terdapat banyak kisah atau andaian tentang asal-usul nama negeri Perlis, kebanyakan sejarawan percaya bahawa negeri Perlis dinamakan bersempena dengan nama pokok perlis.

Sejarah Negeri Perlis

Dari segi sejarah, Perlis adalah negeri di bawah naungan negeri Kedah. Bukti-bukti pra-sejarah yang terdapat di Bukit Tengku Lembu di Beseri menunjukkan kewujudan negeri ini. Tempoh selepas pra-sejarah menunjukkan pengaruh ideologi Islam yang mengambil alih pengaruh Hindu dan Buddha pada akhir abad ke-12 kerana berdasarkan cara hidup masyarakat tempatan.

Ideologi ini juga dipengaruhi oleh sultan Kedah yang menunjukkan imej negeri tersebut. Terdapat beberapa pendapat yang berlainan mengenai sejarah pembentukan negeri Perlis. Menurut Ahmad Ismail dan YB Dato' Yazid bin Mat dalam buku mereka iaitu "Negeri Perlis Indera Kayangan: Sejarah Pembentukan Sebuah Negeri Berdaulat" nama Perlis diambil dari nama pokok iaitu "Pokok Perlis". Ketika itu, jajahan Perlis adalah di tenggara sempadan Satun, di barat daya daerah Kubang Pasu, bertentangan dengan Selat Melaka dibarat, di timur laut Songkhla. Namun terdapat fakta sejarah bahawa kawasan jajahan negeri Perlis sebenarnya lebih luas dari itu.

Pendudukan Siam ke atas Kedah dan jajahannya pada tahun 1821 menyebabkan serangan dan tindakbalas penduduk tempatan secara besar-besaran, akhirnya telah membawa kepada pengunduran Siam dan penyerahan kuasa mentadbir kepada pembesar tempatan bagi mentadbir Kedah, Setul, Kubang Pasu dan Perlis.

Bagi negeri Perlis, Raja Long Krok dilantik sebagai Gabenor, manakala Syed Hussin Jamalullail sebagai timbalannya. Detik ini merupakan detik bersejarah bagi negeri Perlis yang telah mendapat pengiktirafan dari status tanah jajahan kepada status sebuah negeri naungan

Ekonomi

Ekonomi negeri didominasi oleh pertanian, terutamanya beras, gula dan buah-buahan. Perhutanan dan perikanan juga merupakan industri yang mustahak, dan negeri ini sedang mengambil tindakan untuk menarik perusahaan kecil dan sederhana

Kebudayaan
Negeri Perlis sememangnya terkenal dengan kesenian Melayunya seperti Menora Perlis, Jikey, Makyong Laut dan Wayang Kulit Gedek (atau Wayang Gedek). Kebaya Perlis merupakan pakaian tradisional yang terkenal di negeri Perlis.

Pulau Pinang







Geografi
Pulau Pinang adalah negeri kedua terkecil di Malaysia selepas Perlis. Tetapi dari segi bilangan penduduk Pulau Pinang mempunyai penduduk kesembilan terbanyak di Malaysia. Dari segi geografi Pulau Pinang terbahagi kepada dua bahagian iaitu:

Pulau Pinang , sebuah pulau dengan keluasan 293 km persegi .
Seberang Perai , sejalur tanah seluas 760 km persegi yang bersempadan dengan Kedah di utara dan timur dan Perak di selatan

Bandar-bandar utama
Ibu negeri dan bandar terbesar di Pulau Pinang ialah George Town, dibuka pada tahun 1786 oleh Kapten Francis Light. George Town adalah bandaraya kedua terbesar di Malaysia selepas Kuala Lumpur. George Town adalah bandaraya tertua di Malaysia apabila Ratu Elizabeth II menganugerahkan taraf bandaraya pada 1 Januari 1957. Butterworth adalah bandar kedua terbesar di Pulau Pinang. Butterworth hanya dipisahkan oleh Selat Utara dari George Town yang selebar 3km. Kedua-dua buah bandar ini juga terletak berdekatan dengan bandar-bandar satelit seperti Sungai Petani dan Kulim di Kedah, Kepala Batas, Bukit Mertajam, dan Batu Kawan di Seberang Perai serta bandar-bandar di utara negeri Perak. Bandar-bandar ini membentuk kawasan metropolis dengan jumlah penduduk melebihi 2 juta orang, menjadikannya kawasan metropolis kedua terbesar selepas Lembah Klang.

1. Daerah daerah di Pulau Pinang
2. Barat Daya
3. Seberang Perai Selatan
4. Seberang Perai Tengah
5. Seberang Perai utara
6. Timur Laut
7. Bandar-bandar utama lain
8. Ayer Itam
9. Balik Pulau
10. Batu Ferringhi
11. Batu Maung
12. Batu Lanchang
13. Bayan Baru
14. Bayan Lepas
15. Farlim
16. Gelugor
17. George Town
18. Green Lane
19. Gurney Drive
20. Jelutong
21. Paya Terubong
22. Pulau Tikus
23. Pulau Betong
24. Sungai Ara
25. Sungai Dua
26. Sungai Nibong
27. Tanjung Bungah
28. Tanjung Tokong
29. Teluk Bahang
30. Teluk Kumbar

Penduduk
Negeri Pulau Pinang mempunyai kepadatan penduduk yang paling tinggi di Malaysia, dengan 2,031.74 penduduk sekilometer persegi di pulau, dan 865.99 penduduk sekilometer persegi di Seberang Perai. Komposisi kaum mengikut bangsa pada 2006 ialah:

Cina: 635,500 (42.5%)
Melayu: 612,300 (41.0%)
India: 148,000 (9%)
Lain-Lain:
Bumiputra Bukan Melayu: 5,600 (0.38%)
Bukan Warganegara: 91,200 (6.1%)
Negeri Pulau Pinang adalah negeri yang mempunyai peratusan etnik Melayu dan penganut Islam terendah di Semenanjung Malaysia. Pulau Pinang juga mempunyai komuniti Yahudi dan Armenia, tetapi selepas Perang Dunia Kedua dan penubuhan negara Israel, komuniti Yahudi dan Armenia Pulau Pinang hampir lenyap. Terdapat juga komuniti peniaga Arab, Jerman, Inggeris, dan Belanda di Pulau Pinang, selain itu Pulau Pinang mempunyai golongan ekspatriat yang besar, kebanyakkannya berasal dari United Kingdom, Australia, negara-negara Eropah, dan Jepun.

Sejarah
Pulau Pinang yang pada asalnya kepunyaan Kesultanan Kedah, diserah hak kepada Syarikat Hindia-Timur British (British East India Company) pada 1786 oleh Sultan Muhammad Jiwa, Sultan Kedah, sebagai gantian untuk mendapat perlindungan pihak British daripada serangan Siam dan Burma. Pada 11 Ogos 1786, Kapten Francis Light, yang dikenali sebagai pengasas Pulau Pinang, menamakan pulau sebagai Pulau Prince of Wales untuk menghormatkan Raja Muda Britain. Penempatan di Tanjung Penaigre yang terletaknya di hujung timur laut pulau dinamakannya "Georgetown", iaitu nama Raja George III dari Britain

Kedudukan pulau di permulaan Selat Melaka telah membangkit minat Syarikat Hindia-Timur British untuk menggunakannya sebagai sebuah pelabuhan untuk kapal-kapal perdagangannya dan juga sebagai sebuah pangkalan tentera laut untuk menentang cita-cita orang Perancis di wilayah.

Tanpa pengetahuan Sultan Muhammad Jiwa, Light telah membuat perjanjian pemberian perlindungan askar tanpa kebenaran Syarikat Hindia-Timur British. Apabila syarikat gagal dalam membantu Kedah sewaktu ia diserang oleh Siam, Sultan Kedah cuba mengambil kembali pulau pada 1790. Malangnya, pencubaan itu gagal dan Sultan Muhammad Jiwa terpaksa menyerah hak kepada Syarikat dengan hanya bayaran kehormat sebanyak 6,000 dolar Sepanyol setahun. Bayaran ini dinaikkan kepada 10,000 dolar kemudian, dengan penyerahan Seberang Perai (Province Wellesley) pada 1800. Sehingga hari ini, pembayaran diteruskan oleh kerajaan pusat Malaysia yang membuat pembayaran kepada negeri Kedah.

Pada 1826, negeri Pulau Pinang, bersama-sama dengan Melaka dan Singapura, menjadi sebahagian Kawasan Penempatan Selat (Straits Settlements) di bawah pentadbiran British di India. Negeri ini menjadi tanah jajahan pemerintahan British pada tahun 1867. Pada 1946, Pulau Pinang menjadi sebahagian Malayan Union, sebelum menjadi sebuah negeri di Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan Pulau Pinang menjadi salah satu daripada 13 negeri di dalam Persekutuan Malaysia sewaktu penubuhannya pada tahun 1963.

Pulau Pinang ialah sebuah pelabuhan bebas sehingga 1969. Walaupun kehilangan taraf pelabuhan bebas, Zon Perdagangan Bebasnya yang terletak berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di selatan pulau menjadi salah satu daripada pusat-pusat perkilangan elektronik yang terbesar di wilayah Asia dari 1970-an sehingga akhir 1990-an.

Pada tahun 2004, ketidakpuasan terhadap kemerosotan ekonomi Pulau Pinang telah mengakibatkan kempen media untuk mengembalikannya kepada zaman kegemilangannya.

Kebudayaan dan ekonomi
Pulau Pinang, yang juga digelarkan sebagai "Mutiara Timur" (Pearl of the Orient), merupakan sebuah syurga bagi pencinta-pencinta makanan yang datang dari seluruh Malaysia dan Singapura untuk menikmati gaya masakan yang istimewa. Makanan Pulau Pinang yang membayangkan pergaulan di antara kaum Cina, Melayu dan India, juga dipengaruhi kuat oleh makanan Thailand. Pulau Pinang adalah termashyur dalam makanan penjaja yang dijual dan dimakan di tepi jalan, terutamanya makanan mi dan makanan laut.

Batu Ferringhi, yang terletaknya di pantai utara Pulau Pinang, mempunyai banyak hotel yang moden dan merupakan pantai peranginan yang amat popular. Ramai pelancong juga melawati Georgetown, sebuah bandar yang bersejarah dan yang mengandungi rumah-rumah pelbagai kaum, termasuk orang Cina Selat, Melayu dan India, yang dibina pada abad kesembilan belas. Bangunan-bangunan kolonial British boleh juga didapati diantara kuil-kuil Cina dan India, dan masjid orang Melayu Islam. Kuil Kek Lok Si di Air Itam, Rumah Besar Cheong Fatt Tze di bandar, dan Kuil Ular di Bayan Lepas merupakan destinasi pelancong yang masyhur. Salah satu daripada mercu tanda yang utama ialah bangunan KOMTAR, bangunan yang tertinggi di Pulau Pinang.

Kegiatan perdagangan di negeri Pulau Pinang telah merosot dengan hebat bukan sahaja disebabkan oleh kehilangan taraf pelabuhan bebas, tetapi juga kerana kemajuan yang aktif di Pelabuhan Klang berdekatan ibu negara Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun, masih terdapatnya sebuah terminal kontena di Butterworth yang meneruskan perkhidmatannya disebelah utara.

Pada hari kini, negeri Pulau Pinang merupakan ekonomi yang ketiga terbesar di antara negeri-negeri Malaysia, iaitu selepas Selangor dan Johor. Sektor pengeluaran merupakan sektor terutama dalam ekonomi negeri dengan sumbangan sebanyak 45.9% kepada keluaran negeri kasar pada tahun 2000. Perkembangan industrialisasi di bahagian selatan pulau amat pesat, dengan banyak kilang elektronik teknologi tinggi (seperti Intel, AMD, Motorola, Agilent, Hitachi, Osram, Bosch dan Seagate) yang terletaknya di Zon Perindustrian Bebas Bayan Baru.

Sektor-sektor utama yang lain dalam ekonomi Pulau Pinang termasuk sektor pelancongan, kewangan dan lain-lain perkhidmatan.

Pengangkutan
Pulau Pinang dikaitkan dengan tanah besar Semenanjung Malaysia melalui Jambatan Pulau Pinang yang disiapkan pada tahun 1985. Dengan panjangnya sebanyak 13.5 kilometer, jambatan ini merupakan salah satu daripada jambatan yang terpanjang di wilayah Asia. Perkhidmatan feri masih disediakan di antara:

Georgetown dan Butterworth (yang mana stesen keretapi yang terdekat ditempatkan) di tanah besar; dan Georgetown dan Pulau Langkawi, sebuah pulau peranginan di utara.
Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ditempatkan di selatan pulau dan memberi kemudahan penerbangan antarabangsa ke London, Hong Kong, Singapura, Medan, Taipei, Bangkok, Seoul, Riau, Xiamen, dan Guangzhou.

Beca masih lagi boleh didapati dibeberapa tempat di Georgetown. Walau bagaimanapun, dengan ketibaan pengangkutan moden, beca semakin menjadi daya tarikan utama kepada pelancong. Malangnya, pengangkutan moden telah membawa masalah kesesakan trafik kepada lebuhraya Pulau Pinang, disebabkan kebanyakan jalan di pusat bandaraya terlalu sempit kerana ketiadaan perancangan yang baik.




Tuesday 29 September 2009

Sabah






Etimologi
Asal-usul nama ‘Sabah’ diperolehi daripada sejenis tanaman iaitu pisang yang dikenali sebagai ‘pisang saba’ iaitu sejenis buah pisang yang dipanggil "SABBAH " atau "SAPPAH" oleh masyarakat kaum Suluk (Sulu)dan Bajau-Sulu, yang sangat popular dibuat pisang goreng. Pisang ini banyak ditanam di sepanjang pantai barat Sabah sebagai sumber makanan. 'Pisang saba' juga dikenali sebagai 'jaba' oleh masyarakat Bajau di negeri tersebut. Kini 'pisang saba' lebih dikenali sebagai pisang menurun.

Menurut legenda dari masyarakat Bajau-Sulu, perkataan SABAH mula-mula digunakan oleh moyang Tun Datu Mustapha yang merupakan anak bongsu Sultan Sulu. Moyang beliau telah mengambil keputusan untuk menetap di Kinabatangan dan enggan kembali ke sulu apabila pertahanan dan tentera kerajaan sulu di Tawi-Tawi yang merupakan Pusat Pertahanan Terakhir Kerajaan Sulu telah mengalami kekalahan di tangan tentera Sepanyol yang ketika itu sedang berperang dengan kerajaan Sulu dan Kerajaan Brunei. Moyang beliau bersama-sama dengan pengikutnya yang terdiri daripada pahlawan-pahlawan Suluk, Bajau dan Irranun telah mendarat di Kinabatangan. Sewaktu sampai di Kinabatangan mereka telah menjumpai pohon-pohon pisang yang tumbuh subur di kawasan Sungai Kinabatangan. Mereka tidak mengetahui nama sebenar dan jenis pokok pisang yang mempunyai buah yang bersegi-segi dan agak besar itu.Dalam bahasa mereka (Bajau-Suluk), buah pisang disebut sebagai Sabbah atau Sappah. Mereka seringkali menyebut dan menamakan tempat yang mula-mula mereka tempati itu sebagai Sabah dan nama itu terus digunakan dalam bahasa harian mereka sehingga ia digunakan untuk merujuk negeri yang ada pada masa sekarang.

Nama 'Sabah' pertama kali digunakan pada abad ke-15 oleh para pedagang yang mengembara di antara Kepulauan Sulu dan Kerajaan Brunei. Pendek kata, nama 'Sabah' telah pun digunakan sejak sebelum kedatangan Syarikat Berpiagam Borneo Utara dan British lagi.

Setelah negeri Sabah diambil alih oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara, nama 'Sabah' telah ditukar kepada 'Borneo Utara' secara rasmi pada tahun 1881. Ibu negeri Sabah yang pertama ialah Kudat ( 1881 ). Walau bagaimanapun, nama 'Sabah' kembali digunakan pada tahun 1963 selepas negeri tersebut menyertai Malaysia.

Catatan puisi Jawa Nagarakertagama yang dikarang oleh Prapancha pada tahun 1365 menyebut Sabah sebagai 'Sudang'. Dalam catatan Marco Polo sewaktu beliau singgah di Boneo, Sabah (Brunei)ketika itu dikenali sebagai "BURNI" yang mungkin merujuk kepada Pulau Borneo.

Sabah terdiri daripada 6 daerah pentadbiran atau Bahagian, yang dahulu dikenali sebagai "Residensi" iaitu:

Kudat
Pantai Barat - Utara & Selatan
Pedalaman
Sandakan
Tawau
Bandar-bandar utama di Sabah adalah Kota Kinabalu (ibu negeri), Keningau, Papar, Sipitang, Tuaran, Penampang, Semporna, Lahad Datu, Sandakan dan Tawau.

Penduduk Sabah terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, di mana kumpulan etnik terbesar adalah kaum Kadazandusun (satu pertiga) dan diikuti oleh Tausug ( Sulu ),Bajau dan Cina, Melayu, dan kaum-kaum minoriti lain.

Bahasa rasmi negeri Sabah ialah Bahasa Melayu, namun terdapat bahasa-bahasa lain yang ditutur; seperti Bahasa Kadazan, Bahasa Cina (Bahasa Irannun, Bahasa Bajau), dan lain-lain. Walaupun Bahasa Melayu merupakan bahasa perantaraan utama, Bahasa Melayu Sabah yang digunakan oleh masyarakat Sabah terdapat sedikit perbezaan daripada Bahasa Melayu piawai (Bahasa Melayu Baku).

Sabah adalah satu kawasan yang berbukit bukau. Gunung Kinabalu yang tertinggi di Asia Tenggara tersergam indah pada ketinggian 4,095 meter.

Masyarakat Sabah
Berdasarkan kepada jumpaan arkeologi, Sabah telah diduduki oleh penghuni sekurang-kurangnya 28,000 tahun yang lalu. Islam sampai di Sabah menjelang akhir abad ke-15 dan ke-16 melalui pedagang Arab dan India dan juga hasil dari pengembangan kerajaan Kesultanan Melayu Brunei dan Kesultanan Sulu. Pihak Kesultanan Sulu lah yang telah bertanggungjawab mengislamkan orang-orang Idaan pada sekitar abad ke-17 atau ke-18. Orang-orang Eropah datang ke Sabah dua abad kemudiannya untuk tujuan perdagangan.

Sistem pemerintahan di Sabah
Sebelum abad ke-16, Sabah tidak mempunyai pemerintahan beraja menyebabkan system pemerintahan di Sabah terbahagi kepada tiga iaitu sistem politik kesukuan, sistem politik kesultanan dan sistem politik ketua babas.

Sabah telah ditakhluki oleh Kesultanan Brunei pada abad ke-17. Bagaimanapun, apabila Brunei dilanda perebutan kuasa dari tahun 1662. Sultan Muyiddin menyerahkan kawasan timur laut Brunei kepada Sultan Sulu, akibatnya Sabah diperintah oleh dua kuasa, Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu.

[sunting] Kedatangan penjajah

Dalam 1775, Syarikat Hindia-Timur British membuka tempat perdagangan di Pulau Balembangan. Bagaimanapun, Sabah telah ditadbir dengan jayanya oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara British dari 1881 hingga 1942 apabila tentera Jepun menduduki negeri ini. Selepas kehancuran akibat peperangan, Sabah jadi jajahan British apabila ia mencapai pemerintahan sendiri dari pihak British. Pada 16 September 1963, Sabah bersama Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu menjadi Persekutuan Malaysia.

Pada waktu sebelum abad ke-6, kawasan yang kini dikenali sebagai Sabah, Brunei dan Sarawak adalah berpusat pada kerajaan Brunei dan kerajaan Brunei juga merupakan pusat perdagangan dengan China. Wilayah yang kini dikenali sebagai Sabah ini juga dipengaruhi oleh dua kuasa besar pada waktu itu, iaitu Sriwijaya di Sumatra dan kesultanan Sulu di Kepuluan Filipina. Hal ini menyebabkan Sabah berada dalam keadaan yang aman berikutan kedua-dua kuasa besar ini tidak mahu bergaduh.

Sabah diambil alih oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (British North Borneo Chartered Company) pada 1881 dan menjadi sebuah negeri naungan Empayar British pada 1888. Walaubagaimanapun hal ehwal dalam negeri masih diselaraskan oleh Syarikat. Pemerintahan Syarikat tamat pada 1946 dan ia menjadi tanah jajahan Borneo Utara. Penyerahan North-Borneo oleh pihak BNBCC adalah telah melanggar syarat "Perjanjian Pajakan/Sewaan Wilayah North-Borneo" yang telah termeterai diantara Sultan Sulu dan Mr.Barron de Overback & Mr.Alfred Dent, yang telah membentuk Syarikat Berpiagam dan akhirnya wilayah North-Borneo diletak dibawah naungan pihak British. Namun begitu, kedaulatan North-Borneo masih berada di atas kuasa Kesultanan Sulu. Kuasa pihak British ke atas North-Borneo hanyalah sebagai "Pelindung & Pentadbir"(Proctorate & Administrator) termasuk sehingga penyertaanya dalam Persekutuan Malaysia beserta Sarawak, dan Singapura pada 16 September 1963.

Ibu negeri Sabah ialah Kota Kinabalu, yang terletak di Residensi Pantai Barat Sabah.

Ekonomi dan budaya
Pada 1970, Sabah merupakan negeri yang kedua terkaya di Malaysia, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita di belakang Selangor (termasuk Kuala Lumpur). Walaupun ia kaya dengan sumber semula jadi, kini Sabah adalah negeri yang termiskin di kalangan negeri-negeri Malaysia. Pendapatan puratanya pada sekarang adalah di kalangan negeri Malaysia yang paling rendah, sedangkan kos sara hidupnya lebih tinggi daripada Semenanjung Malaysia.

Pada 2000, kadar pengangguran Sabah ialah 5.6 peratus, yakni yang tertinggi di Malaysia dan merupakan dua kali ganda purata nasional sebanyak 3.1 peratus. Tahap kemiskinannya sebanyak 16 peratus merupakan tahap yang tertinggi di Malaysia, yakni lebih daripada tiga kali purata nasional. Sebahagian daripada masalahnya ialah pembahagian kekayaan yang tidak saksama.