Tuesday 29 September 2009

Sabah






Etimologi
Asal-usul nama ‘Sabah’ diperolehi daripada sejenis tanaman iaitu pisang yang dikenali sebagai ‘pisang saba’ iaitu sejenis buah pisang yang dipanggil "SABBAH " atau "SAPPAH" oleh masyarakat kaum Suluk (Sulu)dan Bajau-Sulu, yang sangat popular dibuat pisang goreng. Pisang ini banyak ditanam di sepanjang pantai barat Sabah sebagai sumber makanan. 'Pisang saba' juga dikenali sebagai 'jaba' oleh masyarakat Bajau di negeri tersebut. Kini 'pisang saba' lebih dikenali sebagai pisang menurun.

Menurut legenda dari masyarakat Bajau-Sulu, perkataan SABAH mula-mula digunakan oleh moyang Tun Datu Mustapha yang merupakan anak bongsu Sultan Sulu. Moyang beliau telah mengambil keputusan untuk menetap di Kinabatangan dan enggan kembali ke sulu apabila pertahanan dan tentera kerajaan sulu di Tawi-Tawi yang merupakan Pusat Pertahanan Terakhir Kerajaan Sulu telah mengalami kekalahan di tangan tentera Sepanyol yang ketika itu sedang berperang dengan kerajaan Sulu dan Kerajaan Brunei. Moyang beliau bersama-sama dengan pengikutnya yang terdiri daripada pahlawan-pahlawan Suluk, Bajau dan Irranun telah mendarat di Kinabatangan. Sewaktu sampai di Kinabatangan mereka telah menjumpai pohon-pohon pisang yang tumbuh subur di kawasan Sungai Kinabatangan. Mereka tidak mengetahui nama sebenar dan jenis pokok pisang yang mempunyai buah yang bersegi-segi dan agak besar itu.Dalam bahasa mereka (Bajau-Suluk), buah pisang disebut sebagai Sabbah atau Sappah. Mereka seringkali menyebut dan menamakan tempat yang mula-mula mereka tempati itu sebagai Sabah dan nama itu terus digunakan dalam bahasa harian mereka sehingga ia digunakan untuk merujuk negeri yang ada pada masa sekarang.

Nama 'Sabah' pertama kali digunakan pada abad ke-15 oleh para pedagang yang mengembara di antara Kepulauan Sulu dan Kerajaan Brunei. Pendek kata, nama 'Sabah' telah pun digunakan sejak sebelum kedatangan Syarikat Berpiagam Borneo Utara dan British lagi.

Setelah negeri Sabah diambil alih oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara, nama 'Sabah' telah ditukar kepada 'Borneo Utara' secara rasmi pada tahun 1881. Ibu negeri Sabah yang pertama ialah Kudat ( 1881 ). Walau bagaimanapun, nama 'Sabah' kembali digunakan pada tahun 1963 selepas negeri tersebut menyertai Malaysia.

Catatan puisi Jawa Nagarakertagama yang dikarang oleh Prapancha pada tahun 1365 menyebut Sabah sebagai 'Sudang'. Dalam catatan Marco Polo sewaktu beliau singgah di Boneo, Sabah (Brunei)ketika itu dikenali sebagai "BURNI" yang mungkin merujuk kepada Pulau Borneo.

Sabah terdiri daripada 6 daerah pentadbiran atau Bahagian, yang dahulu dikenali sebagai "Residensi" iaitu:

Kudat
Pantai Barat - Utara & Selatan
Pedalaman
Sandakan
Tawau
Bandar-bandar utama di Sabah adalah Kota Kinabalu (ibu negeri), Keningau, Papar, Sipitang, Tuaran, Penampang, Semporna, Lahad Datu, Sandakan dan Tawau.

Penduduk Sabah terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, di mana kumpulan etnik terbesar adalah kaum Kadazandusun (satu pertiga) dan diikuti oleh Tausug ( Sulu ),Bajau dan Cina, Melayu, dan kaum-kaum minoriti lain.

Bahasa rasmi negeri Sabah ialah Bahasa Melayu, namun terdapat bahasa-bahasa lain yang ditutur; seperti Bahasa Kadazan, Bahasa Cina (Bahasa Irannun, Bahasa Bajau), dan lain-lain. Walaupun Bahasa Melayu merupakan bahasa perantaraan utama, Bahasa Melayu Sabah yang digunakan oleh masyarakat Sabah terdapat sedikit perbezaan daripada Bahasa Melayu piawai (Bahasa Melayu Baku).

Sabah adalah satu kawasan yang berbukit bukau. Gunung Kinabalu yang tertinggi di Asia Tenggara tersergam indah pada ketinggian 4,095 meter.

Masyarakat Sabah
Berdasarkan kepada jumpaan arkeologi, Sabah telah diduduki oleh penghuni sekurang-kurangnya 28,000 tahun yang lalu. Islam sampai di Sabah menjelang akhir abad ke-15 dan ke-16 melalui pedagang Arab dan India dan juga hasil dari pengembangan kerajaan Kesultanan Melayu Brunei dan Kesultanan Sulu. Pihak Kesultanan Sulu lah yang telah bertanggungjawab mengislamkan orang-orang Idaan pada sekitar abad ke-17 atau ke-18. Orang-orang Eropah datang ke Sabah dua abad kemudiannya untuk tujuan perdagangan.

Sistem pemerintahan di Sabah
Sebelum abad ke-16, Sabah tidak mempunyai pemerintahan beraja menyebabkan system pemerintahan di Sabah terbahagi kepada tiga iaitu sistem politik kesukuan, sistem politik kesultanan dan sistem politik ketua babas.

Sabah telah ditakhluki oleh Kesultanan Brunei pada abad ke-17. Bagaimanapun, apabila Brunei dilanda perebutan kuasa dari tahun 1662. Sultan Muyiddin menyerahkan kawasan timur laut Brunei kepada Sultan Sulu, akibatnya Sabah diperintah oleh dua kuasa, Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu.

[sunting] Kedatangan penjajah

Dalam 1775, Syarikat Hindia-Timur British membuka tempat perdagangan di Pulau Balembangan. Bagaimanapun, Sabah telah ditadbir dengan jayanya oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara British dari 1881 hingga 1942 apabila tentera Jepun menduduki negeri ini. Selepas kehancuran akibat peperangan, Sabah jadi jajahan British apabila ia mencapai pemerintahan sendiri dari pihak British. Pada 16 September 1963, Sabah bersama Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu menjadi Persekutuan Malaysia.

Pada waktu sebelum abad ke-6, kawasan yang kini dikenali sebagai Sabah, Brunei dan Sarawak adalah berpusat pada kerajaan Brunei dan kerajaan Brunei juga merupakan pusat perdagangan dengan China. Wilayah yang kini dikenali sebagai Sabah ini juga dipengaruhi oleh dua kuasa besar pada waktu itu, iaitu Sriwijaya di Sumatra dan kesultanan Sulu di Kepuluan Filipina. Hal ini menyebabkan Sabah berada dalam keadaan yang aman berikutan kedua-dua kuasa besar ini tidak mahu bergaduh.

Sabah diambil alih oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (British North Borneo Chartered Company) pada 1881 dan menjadi sebuah negeri naungan Empayar British pada 1888. Walaubagaimanapun hal ehwal dalam negeri masih diselaraskan oleh Syarikat. Pemerintahan Syarikat tamat pada 1946 dan ia menjadi tanah jajahan Borneo Utara. Penyerahan North-Borneo oleh pihak BNBCC adalah telah melanggar syarat "Perjanjian Pajakan/Sewaan Wilayah North-Borneo" yang telah termeterai diantara Sultan Sulu dan Mr.Barron de Overback & Mr.Alfred Dent, yang telah membentuk Syarikat Berpiagam dan akhirnya wilayah North-Borneo diletak dibawah naungan pihak British. Namun begitu, kedaulatan North-Borneo masih berada di atas kuasa Kesultanan Sulu. Kuasa pihak British ke atas North-Borneo hanyalah sebagai "Pelindung & Pentadbir"(Proctorate & Administrator) termasuk sehingga penyertaanya dalam Persekutuan Malaysia beserta Sarawak, dan Singapura pada 16 September 1963.

Ibu negeri Sabah ialah Kota Kinabalu, yang terletak di Residensi Pantai Barat Sabah.

Ekonomi dan budaya
Pada 1970, Sabah merupakan negeri yang kedua terkaya di Malaysia, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita di belakang Selangor (termasuk Kuala Lumpur). Walaupun ia kaya dengan sumber semula jadi, kini Sabah adalah negeri yang termiskin di kalangan negeri-negeri Malaysia. Pendapatan puratanya pada sekarang adalah di kalangan negeri Malaysia yang paling rendah, sedangkan kos sara hidupnya lebih tinggi daripada Semenanjung Malaysia.

Pada 2000, kadar pengangguran Sabah ialah 5.6 peratus, yakni yang tertinggi di Malaysia dan merupakan dua kali ganda purata nasional sebanyak 3.1 peratus. Tahap kemiskinannya sebanyak 16 peratus merupakan tahap yang tertinggi di Malaysia, yakni lebih daripada tiga kali purata nasional. Sebahagian daripada masalahnya ialah pembahagian kekayaan yang tidak saksama.

No comments:

Post a Comment