Tuesday 29 September 2009


Negeri Sembilan terdiri daripada 9 luak iaitu : Jelebu
Inas
Johol
Rembau
Sungai Ujong
Tampin
Jempol
Ulu Muar
Gunung Pasir
Selain Seremban, bandar-bandar utama yang lain di Negeri Sembilan ialah Seri Menanti, Gemas, Kuala Klawang, Lukut, dan Port Dickson.

Penduduk Asal
Negeri Sembilan pada asalnya didiami oleh orang-orang asli daripada suku kaum Sakai, Semang dan Jakun. Mereka hidup berpindah randah, memburu, mengutip hasil hutan dan ada yang mula bertani.

Penghijrahan Orang Minangkabau
Pada permulaan abad ke-14 Masehi orang-orang Sumatra dari Tanah Minangkabau mulai tiba di Negeri Sembilan melalui Melaka dan sampai ke Rembau. Orang Minangkabau ini lebih bertamadun daripada Orang Asli ini dan berjaya memujuk hati orang Asli. Dengan itu berlakulah nikah kahwin antara orang-orang Minangkabau ini dengan penduduk asli dan daripada keturunan mereka dinamakan suku Biduanda. Suku Biduanda ini adalah pewaris asal Negeri Sembilan dan apabila hendak memilih pemimpin maka hanya mereka dari suku Biduanda inilah yang akan dipilih. Orang-orang Minangkabau yang datang kemudian adalah dari suku kampung-kampung asal mereka di Minangkabau. Pada peringkat awal kebanyakan yang tiba adalah dari Tanah Datar dan Paya Kumbuh.

Dari suku Biduanda inilah asalnya pembesar-pembesar Negeri Sembilan yang dipanggil Penghulu dan kemudiannya Undang. Sebelum wujudnya Yang DiPertuan Besar, Negeri Sembilan adalah di bawah naungan kerajaan Melayu Johor.

Nama Negeri Sembilan mula digunakan pada abad ke-16 untuk merujuk kepada persekutuan negeri-negeri yang telah dibuka oleh orang Minangkabau di Semenanjung Tanah Melayu iaitu Segamat yang kini menjadi sebahagian daripada Johor, Naning yang kini menjadi sebahagian daripada Melaka, Rembau, Sungai Ujong, Johol dan Jelebu yang kini adalah sebahagaian daripada Negeri Sembilan, Hulu Pahang dan Jelai yang kini menjadi sebahagian daripada Pahang, dan Kelang yang kini menjadi sebahagian daripada Selangor.

Adat Perpatih
Asal penubuhan Negeri Sembilan adalah oleh Dato' Pepatih Nan Sebatang. Beliau juga merupakan pengasas bagi adat pepatih yang sangat dikenali umum. Seperti yang di ketahui umum, adat pepatih lebih mementingkan kaum wanita daripada lelaki. Pada dasarnya, adat ini adalah adat yang terbaik di Negeri Melayu kerana ia sangat mencakupi segala aspek. Keutamaan wanita di dalam adat pepatih sebenarnya lebih kepada mewarisi harta pusaka dan membawa darah keturunan. Berbeza dari kesultanan Melayu yang lain, harta dan darah keturunan di warisi oleh kaum lelaki. Menurut adat pepatih, wanita yang mengandungkan dan melahirkan anak maka wanitalah yang membawa darah keturunan kepada pewaris iaitu anaknya. Dari segi harta pula, hanya harta pusaka iaitu termasuk tanah dan rumah induk diwarisi oleh wanita bertujuan agar kaum wanita tidak terabai sekiranya dicerai suami. Namun demikian harta sepencarian adalah milik bersama lelaki dan wanita dan di bahagi mengikut hukum Islam. Hasil positif daripada pengamalan adat pepatih ini, harta pusaka tidak tergadai kerana tidak boleh dijual malah di dalam sesebuah kampung, biasanya terdiri daripada saudara mara kerana tanah pusaka telah dibahagi dari awal keturunan kepada generasi sekarang. Dalam erti kata lain, di dalam sebuah kawasan, biasanya terdiri dari keluarga dari satu keturunan. Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat

No comments:

Post a Comment